Sukan Hari Ini

Kompany Bawa Man City Hampiri Kejuaraan

MANCHESTER: Pengendali Manchester City Pep Guardiola menghargai sumbangan Vincent Kompany yang rembatan padunya menjelmakan kemenangan 1-0 ke atas Leicester City awal pagi tadi dan membawa juara bertahan itu semakin hampir kepada kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

City kembali mendahului liga dengan kelebihan satu mata ke atas Liverpool walaupun tidak mempamerkan prestasi terbaik mereka, dan diselamatkan oleh jaringan kapten pasukan 20 minit sebelum tamat permainan.

Skuad kendalian Guardiola bakal menjadi pasukan pertama dalam tempoh sedekad mengekalkan kejuaraan menjelang perlawanan terakhir di Brighton Ahad ini sekiranya mereka mencatat keputusan sama atau lebih baik berbanding Liverpool yang akan melayan kunjungan Wolves.

Kompany, bek tengah yang dibelenggu kecederaan sepanjang beberapa tahun lalu, tidak dapat menahan air mata ketika membuat pusingan penghormatan bersama anaknya selepas perlawanan terakhir City di laman sendiri yang mungkin juga perlawanan terakhirnya di Etihad dengan kontraknya akan berakhir di penghujung musim ini.

“Terdapat pemain yang membawa kami di mana kami berada sekarang,” kata Guardiola. “Vincent salah seorang daripada mereka.

“Apabila cergas, dia adalah bek tengah yang menakjubkan. Dia disayangi, dia seorang pemimpin. Saya gembira untuknya, untuk kelab dan semua orang.”

Selepas mengatasi Newcastle 3-2 pada Sabtu, Liverpool, yang kemarau kejuaraan liga sejak tahun 1990, mengharapkan bekas pengendali mereka Brendan Rodgers dapat menolong mereka di Etihad.

Leicester yang menunjukkan peningkatan sejak Rodgers mengambil alih pasukan pada Februari, mencetus harapan buat Liverpool apabila berjaya mengikat City hingga minit ke-70.

 

“Ia bukan berkenaan jumlah gol yang anda jaringkan, tetapi bila anda menjaringkannya. Hari ini ia amat diperlukan,” kata Kompany.

“Setiap langkah sepanjang empat bulan lalu amat penting. Liverpool tidak mensia-siakannya dan sekarang kita menuju ke final di Brighton, kami belum menang apa-apa.” – AFP

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");