Berita Hari Ini
Like

KTMB Lancar Aplikasi ‘MyRailtime’ Untuk Kemudahan Pengguna

May 17, 2019
332 Views
0 Comments
2 minutes read
KTMB Lancar Aplikasi ‘MyRailtime’ Untuk Kemudahan Pengguna

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melancarkan aplikasi ‘MyRailtime’ bagi membantu orang ramai menyemak jadual perjalanan, waktu ketibaan dan pelepasan perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Klang dan Tanjung Malim mengikut waktu sebenar.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata aplikasi yang boleh dimuat turun menerusi telefon pintar sama ada Google Play Store dan IOS lain itu dijangka memudahkan penumpang menyemak jadual perjalanan kereta api mengikut masa sebenar (real-time) bermula dengan perkhidmatan KTM Komuter.

Beliau berkata penggunaan aplikasi berkenaan membolehkan pengguna mendapatkan maklumat tepat mengenai masa pelepasan dan ketibaan tren KTM Komuter terutama bagi mereka menggunakan kemudahan pengangkutan awam berkenaan setiap hari.

“Kita juga bercadang memperluaskan penggunaan sistem digital dalam pengoperasian tren serta penyediaan kemudahan nilai tambah seperti wifi di dalam tren Skypark Link dan ETS, mod pembayaran tanpa tunai bagi KTM Komuter di Lembah Klang sejak 10 Sepember 2018.

“Langkah ini adalah selari dengan hasrat dan aspirasi kerajaan untuk terus meningkatkan lagi mutu perkhidmatan pengangkutan awam berasaskan rel,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran MyRailtime di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata pihaknya mensasarkan lebih sejuta pengguna bakal menggunakan aplikasi ‘MyRailtime’ menjelang akhir tahun 2019.

Dalam pada itu beliau juga meminta orang ramai bersabar dan memahami punca utama kelewatan ketibaan tren KTM Komuter terutama di Lembah Klang adalah kerana kerja menaik taraf landasan perkhidmatan rel berkenaan.

Beliau berkata fasa pertama kerja menaik taraf landasan KTM Komuter berkenaan bakal siap pada tahun depan, manakala fasa seterusnya beberapa tahun lagi.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan kadar kekerapan dan ketibaan KTM Komuter sekarang menjadi 45 minit sekali berbanding 20 minit sebelum ini.

“Jadi dengan adanya penggunaan aplikasi ini saya berharap ia dapat membantu pengguna KTM Komuter merancang perjalanan masing-masing dan mengetahui,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin, berkata pelancaran aplikasi berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif pemodenan KTMB.

Beliau berkata 2019 adalah tahun pemodenan KTMB bagi menyediakan akses terbaik kepada pelanggan yang memfokuskan kepada jadual perjalanan tren KTM Komuter dan Skypark Link.

“Justeru KTMB akan memperuntukkan sebanyak RM13 juta perbelanjaan modal (CAPEX) pada 2019 hanya untuk menaik taraf sistem dan teknologi maklumat (IT) di KTMB,” katanya.- BHarian

Komen & Pendapat

Comments are closed.