Berita Hari Ini

‘Land Swap’ – Kementerian Pertahanan Buat Dua Laporan ke SPRM

Kementerian Pertahanan telah membuat dua laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pendedahan skandal ‘Land Swap’ membabitkan tanah-tanah milik kementerian itu.

Menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini, kementerian itu mahu tindakan lanjut dan terperinci dilakukan bagi menyiasat perkara tersebut susulan pendedahan 16 projek ‘Land Swap’ itu.

Katanya Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dibentangkan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu di Dewan Negara Khamis lepas memberi kesan besar kepada kementerian itu khususnya kepada semua pihak yang terlibat dalam menguruskan projek ‘Land Swap’ agar sentiasa berhati-hati dan tidak terlibat dalam sebarang penyalahgunaan kuasa serta rasuah sehingga menyebabkan kegagalan projek sekali gus merugikan kerajaan.

“Kementerian Pertahanan mengambil serius berhubung penemuan, teguran dan syor yang telah dikemukakan oleh jawatankuasa siasatan ini,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, kementerian memaklumkan pihaknya menyiarkan laporan siasatan penuh kesemua 16 projek ‘Land Swap’ itu secara berperingkat di portal rasmi kementerian bermula semalam hingga Jumaat ini.

Berdasarkan Laporan JKSTUPKK, siasatan mengenai projek ‘Land Swap’ itu mendapati unsur-unsur kelemahan dan kecuaian dari segi tadbir urus selain penglibatan anggota pentadbiran iaitu bekas perdana menteri dan bekas menteri pertahanan dalam 13 daripada 16 projek ‘Land Swap’.

Menurut Laporan JKSTUPKK yang membuat siasatan dari Julai hingga Disember 2018, kelemahan itu termasuk dalam perancangan dan perolehan telah menyebabkan tujuan asal projek untuk meningkatkan kesiapsiagaan ketenteraan negara tidak tercapai sepenuhnya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");