Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret A. Akhiruddin selama tujuh hari bermula hari ini hingga 23 Mei depan.

Perintah tahanan reman ke atas suspek berusia 36 tahun itu bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kosmo! Online semalam melaporkan, misteri kehilangan Siti Khairina sejak 8 Mei lalu akhirnya terjawab apabila mayat wanita itu ditemui di rumah sewanya di sebuah kondominium di Cyberjaya dekat sini Rabu lalu.

Penemuan mayat Siti Kharina terbongkar selepas polis menerima maklumat daripada orang awam yang melihat darah mengalir keluar dari pintu kediaman terbabit kira-kira pukul 2.30 petang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, susulan laporan itu, polis telah bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mayat seorang wanita terbaring dalam keadaan tidak berpakaian lengkap selain terdapat kesan kelar pada dada, leher dan kepala mangsa.

Susulan penemuan mayat mangsa, polis telah membuat dua tangkapan ke atas seorang lelaki warga Pakistan dan seorang wanita Nigeria.

Sementara itu, suspek ditahan di Cheras Sentral Mall, Kuala Lumpur kira-kira pukul 3 petang semalam.

Siti Khairina dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di tempat letak kenderaan Hospital Serdang di dalam sebuah kereta Honda City pada pukul 4 petang hari kejadian lapor Kosmo Online.