Sukan Hari Ini

Liverpool Bikin Kejutan Singkir Barcelona

LIVERPOOL: Liverpool melakar salah satu kebangkitan paling mengagumkan dalam sejarah Liga Juara-Juara apabila mengatasi defisit tiga gol dengan menewaskan Barcelona 4-0 di Anfield dan mara ke final buat dua musim berturut-turut menerusi agregat 4-3, awal pagi tadi.

Gol kemenangan Reds dijaringkan oleh penyerang Belgium Divock Origi dan pemain gantian Georginio Wijnaldum dengan masing-masing menyumbat dua gol.

Bukan saja berdepan tugasan menggunung untuk mara, tetapi Reds turut kehilangan dua senjata mereka di bahagian serangan pada aksi berkenaan iaitu Mohamed Salah dan Roberto Firmino susulan kecederaan.

Begitupun, Origi dan Wijnaldum membuktikan mereka layak dijulang sebagai wira ketika Barca mensia-siakan kelebihan tiga gol pada aksi pertama buat musim kedua berturut-turut selepas turut tersingkir kepada Roma di suku akhir, musim lalu.

“Sekali lagi kami menunjukkan yang tiada apa yang mustahil dalam bola sepak,” kata Wijnaldum. “Saya amat marah kepada pengurus kerana meletakkan saya di bangku simpanan tetapi saya perlu melakukan sesuatu untuk membantu pasukan apabila saya dimasukkan.

“Kami masih mempercayainya sejak daripada awal. Orang dari luar (kelab) berfikir ia mustahil tetapi kami masih berupaya melakukannya.”

Tanpa kelibat Salah dan Firmino, skuad kendalian Jurgen Klopp membuktikan mereka masih belum hilang kepercayaan dan dibantu dengan suasana menakjubkan di Anfield.

Ironinya, Origi mungkin tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama jika Salah dan Firmino cergas.

Dan dia meneruskan tugasnya meledak gol penting buat Liverpool dalam usaha kelab itu apabila meledak jaringan pertamanya di Liga Juara-Juara seawal minit ketujuh selepas penjaga gol Barca, Marc-Andre ter Stegen gagal menangkap kemas cubaan kapten Jordan Henderson.

Selepas jaringan berkenaan, Barca mula mengorak langkah dan hampir berjaya memecah kebuntuan menerusi bintangnya, Lionel Messi berpunca sepakan percuma tetapi ia berjaya dihalang Alisson Becker sebelum penjaga gol Brazil itu menafikan cubaan rakan senegaranya Philippe Coutinho.

Liverpool mungkin berdepan satu lagi masalah kecederaan apabila Andy Robertson tidak dapat meneruskan aksi pada separuh masa pertama dan ia memberi ruang buat Wijnaldum.

Wijnaldum membuktikan impak yang dibawanya apabila meledak gol kedua tuan rumah pada minit ke-54 dan menambah jaringan kedua peribadi, dua minit kemudian sebelum Origi meledak gol kemenangan pada minit ke-79. – AFP

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");