Berita Hari Ini

Mahu Beri Cadangan Atau Marah PTPTN, Guna Saluran Yang Betul – Wan Saiful

JERLUN: Pihak agensi Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) tidak menghalang mana-mana pihak untuk memberi cadangan atau mengkritik agensi terbabit berhubung sistem bayaran balik pinjaman.

Itu tegas pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan yang berharap saluran yang betul iaitu melalui Kertas Konsultasi Rakyat (KKR) yang disediakan di laman web rasmi PTPTN menjadi pilihan rakyat Malaysia bagi mengemukakan idea mereka.

Memetik laporan Astro Awani, jelasnya, tindakan orang ramai menggunakan laman sosial seperti aplikasi Facebook, Twitter dan WhatsApp bukan sahaja merugikan mereka, malah PTPTN sendiri.

Menurut Wan Saiful, PTPTN hanya dapat menilai dan menerima cadangan yang bernas yang mampu memberi manfaat kepada semua pihak jika ia disampaikan melalui saluran rasmi yang disediakan.

“Saya rasa boleh untuk keluarkan pandangan melalui Facebook, WhatsApp semua tetapi kita berikan satu saluran yang rasmi untuk mereka memberi pandangan yang boleh dipertimbangkan.

“Cakap melalui WhatsApp, Facebook ada faedahnya dari segi komentar atau cetuskan perdebatan tapi dari segi maklumat (ia) tidak sampai ke PTPTN, itu merugikan.

“Jadi saya minta selepas kita ‘berperang’ dalam WhatsApp, ‘bergaduh’ dalam Facebook, tolonglah lawat laman web kita, tolong datang sesi townhall untuk bagi pandangan,” katanya.

Wan Saiful berkata demikian ketika menyerahkan sumbangan zakat dalam Program Jelajah Ramadan PTPTN Prihatin di pusat khidmat Wakil Rakyat Parlimen Jerlun.

Sementara itu, mengulas mengenai beberapa cadangan yang dikemukakan berkenaan sistem atau kaedah pembayaran balik pinjaman, beliau berkata pihaknya bersedia menerima pelbagai cadangan.

Katanya, ia termasuk cadangan oleh penganalisis ekonomi, Profesor Dr Madeline Berma yang mahu insentif diberikan kepada para peminjam agar tidak wujud sebarang masalah dari segi kutipan balik pinjaman.

“Kita kumpul pandangan itu dulu, macam saya sebut tadi saya perlu amanah dengan semua pandangan yang ada, ada orang bagi pandangan amat baik untuk PTPTN, ada yang kita rasa tidak selesa untuk kita laksanakan tapi kita tak boleh kata jangan bagi pandangan.

“Jadi dalam keadaan semua orang bagi pandangan, kita kumpul dulu,” katanya lagi.

Baru baru ini, isu melibatkan PTPTN kembali menjadi polemik dan perbualan apabila wujud pihak yang mencadangkan supaya kerajaan menyekat semula perjalanan keluar negara membabitkan peminjam yang culas untuk membayar balik pinjaman.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");