Serbuan bermula pukul 5.20 petang hingga 9.45 malam itu membawa kepada penangkapan tiga lelaki tempatan berusia 28 hingga 69 tahun.

Dalam serbuan itu, pihak polis menemui pelbagai jenis dadah bernilai RM16.4 juta yang dipercayai untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Turut ditemui dalam premis yang disewa sindiket berkenaan sejumlah mesin khas yang dipercayai dibawa masuk dari luar negara sekali gus mampu menghasilkan 450 biji pil erimin 5 bagi setiap satu jam.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan telah beroperasi selama dua bulan dan mereka menggunakan alat penapis udara bagi menghalang bau bahan kimia dan dadah dihidu orang luar.

Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati suspek berusia 69 tahun yang juga ‘ahli kimia’ bagi sindiket berkenaan pernah ditahan membabitkan kes sebuah makmal dadah terbesar di Semenyih pada tahun 2004.

“Antara dadah dan bahan kimia yang dirampas dalam serbuan itu termasuk 84.2 kilogram (kg) serbuk erimin 5 yang mampu menghasil 421,000 pil, 51kg ketamin, 165 gram syabu, pil ekstasi (3,450 biji) dan pil erimin 5 (400 biji).

“Turut disita, dua buah kenderaan jenis Honda Accord dan Mitsubishi Triton, seutas jam tangan serta wang tunai RM18,200,” katanya pada sidang akhbar di kawasan Perindustrian Bukit Angkat di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Kamarulzaman memberitahu, tujuh lelaki berusia 28 hingga 57 tahun diberkas dalam enam serbuan di sekitar Cheras, Kuala Lumpur.

”Serbuan pada hari Selasa bermula 5.30 petang hingga 12 tengah hari Rabu lalu itu membawa kepada penemuan 20 bungkusan dadah jenis syabu bernilai 1.04 juta.

“Turut disita, dalam serbuan itu lapan buah kenderaan antaranya Toyota Vellfire, Mazda 6, Lexus, Volkswagen Jetta, Mercedes-Benz, pelbagai barang kemas, jam tangan serta wang tunai RM192,798,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua suspek termasuk sindiket makmal direman sehingga 3 Jun bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 lapor Kosmo Online.