Berita Hari Ini

Malaysia Mahu Dikenali Kerana Integriti, Anti Rasuah

GENEVA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan Pakatan Harapan mahu Malaysia dikenali sebagai negara berintegriti dan anti rasuah di persada antarabangsa.

Beliau berkata, susulan itu, kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu dengan menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional serta melancarkan Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 pada Januari tahun ini.

“Kami jimatkan sumber. Tetapi, kami juga tidak mahu mengabaikan kebajikan masyarakat. Kami mahu melihat bahawa selepas ini negara kita ditadbir urus dengan baik sekali,” katanya semasa berucap pada majlis iftar bersama rakyat Malaysia di sini malam tadi, lapor BH Online.

Dr Wan Azizah dalam lawatan kerja tiga hari ke negara ini bermula Selasa bagi mengetuai delegasi Malaysia ke edisi keenam Platform Global bagi Pengurangan Risiko Bencana.

Namun, Timbalan Perdana Menteri berkata, inisiatif itu yang juga landasan kepada perubahan yang dijanjikan kerajaan Pakatan Harapan tidak dirasai oleh segelintir rakyat yang sukar menukar penetapan minda mereka setelah lebih 60 tahun di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

Pada majlis yang dihadiri komuniti Malaysia yang berkhidmat dengan badan antarabangsa di sini, Dr Wan Azizah juga mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia yang memilih untuk menukar kerajaan pada 9 Mei tahun lalu.

“Tahniah dan syabas pada semua kerana ini satu daripada apa yang kita jayakan bersama. Sebab kalau tidak kerana rakyat menukar kerajaan pada 9 Mei tahun lalu, sudah tentu tidak akan berubah nasib kita, dalam negara kita. Rakyat ialah mereka yang menjadi pejuang yang sebenar, terutamanya yang di luar negeri,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu berbangga kerana berjaya menukar kerajaan dalam keadaan aman dan teratur, tanpa sebarang pertumpahan darah.

Terdahulu Dr Wan Azizah menerima kunjungan hormat Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, yang kemudian turut serta dalam majlis iftar berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");