Perak Hari Ini

Masjid Negeri Mesra Kanak-Kanak

IPOH- Masjid Sultan Idris Shah Ke-II atau lebih dikenali dengan nama Masjid Negeri menghidupkan tuntutan agama memeriahkan masjid dengan anak-anak tanpa mengganggu urusan ibadah dengan mewujudkan satu ruangan khas buat anak-anak iaitu Kidszone.

Kata Imam Besarnya, Abdul Farid Salleh, beliau mengharapkan dengan bermulanya inisiatif ini, persepsi segelintir masyarakat yang menganggap masjid adalah satu halangan apabila adanya kanak-kanak dapat dihapuskan kerana kehadiran kanak-kanak diharuskan mengikut beberapa dalil yang sahih.

“Mereka bukanlah satu masalah jika pihak jawatankuasa masjid dapat menggunakan beberapa kawasan untuk mewujudkan ruang seperti ini malah perkara ini juga merupakan satu kaedah bagi menggalakkan orang ramai datang ke masjid kerana ianya sangat dituntut dalam agama.

“Hal ini juga bertujuan menunjukkan bahawa masjid adalah tempat yang mesra kanak-kanak serta dapat menggalakkan ibu bapa membawa anak-anak mereka supaya dididik sejak kecil untuk datang ke masjid.

“Dengan adanya masjid yang mesra anak-anak seperti ini, sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan kebimbangan para ibu bapa untuk menguruskan anak-anak disamping tiada sebarang cas yang dikenakan kepada mereka,” katanya semasa ditemubual sebentar tadi.

Abdul Farid berkata, beliau sudah beberapa tahun memerhatikan suasana dimana suara kanak-kanak yang ramai boleh mengundang bunyi bising dan mengganggu jemaah mengerjakan solat kerana apa yang dilihat kapasiti jemaah yang datang ke masjid tersebut ramai, jadi ada antara ibu bapa yang bawa bersama anak-anak mereka.

“Walaupun perkara ini adalah perkara yang biasa, tetapi setiap kali ingin mengerjakan solat, saya akan sentiasa berpesan kepada imam yang bertugas untuk memperingatkan kepada ibu bapa mengawal anak-anak mereka.

“Malah ada juga dalam kalangan ibu bapa yang terpaksa bergilir untuk bersolat kerana ingin menjaga anak-anak mereka,” katanya.

Menurut beliau, disebabkan perkara tersebut, maka telah tercetusnya idea untuk menyediakan satu kawasan khususnya untuk kanak-kanak bermain tanpa mengganggu jemaah.

“Kebetulan pada tahun lalu, terdapat dua dewan di aras atas yang mana digunakan untuk bersolat tarawih telah siap diubah suai maka cadangan ini telah diusulkan semasa masyuarat bagi menyediakan satu kawasan bermain untuk anak-anak supaya ibu bapa mereka lebih selesa dan khusyuk untuk solat,” katanya.

Katanya lagi, dengan bantuan beberapa orang kakitangan wanita bersama-sama sukarelawan An-Nisa’, meraka telah membantu menjaga anak-anak di Kidszone serta diberi giliran dua orang sukarelawan pada setiap malam.

“Kapasiti untuk kanak-kanak berada di dalam kawasan Kidszone boleh dimuatkan sehingga 30 orang tetapi jika melebihi kapasiti, satu lagi dewan akan dibuka.

“Jawatankuasa masjid juga hanya menerima kanak-kanak yang berusia dari empat hingga tujuh tahun bagi mengelakkan sebarang masalah timbul apabila menerima kanak-kanak yang berada di bawah tiga tahun.

“Bagi anak-anak yang telah Mumayyiz, kita menggalakkan mereka untuk bersolat bersama-sama ibu bapa tapi dengan kawalan dimana anak-anak tersebut berada bersebelahan dengan ibu bapa mereka,” katanya.

Katanya lagi, selepas perkara ini dihebahkan di dalam media sosial Facebook, apa yang dapat dilihat adalah pertambahan jumlah bilangan jemaah dari hari ke hari dan antara perkara menarik selepas empat hari Kidszoen ini dibuka adalah, ada antara anak-anak yang tidak puas bermain dan seronok dengan suasana bermain disitu sehingga ada antaranya tidak mahu pulang ke rumah.

Menurutnya, di dalam kawasan Kidszone terdapat beberapa mainan yang tidak berbahaya disamping bahan-bahan bacaan untuk mereka belajar dengan bantuan sukarelawan.

“Hampir 90 peratus mainan di Kidszone adalah sumbangan dan infa’ dari orang ramai.

“Pengurusan Masjid Negeri juga menawarkan kepada orang ramai yang berhajat untuk menginfa’ permainan yang sesuai di Kidszone untuk sama-sama prihatin menyumbang kepada pihak masjid,” katanya.

Dengan kemudahan yang sedia ada seperti tempat meletak kenderaan, kawasan masjid yang luas, pendingin hawa diseluruh masjid boleh memuatkan seramai kira-kira 5,000 orang dan kawasan solat tarawih di bahagian atas masjid tersebut dapat memuatkan kira-kira lebih 1,000 jemaah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");