Perak Hari Ini

MB Perak Nafi Terima Tekanan

TAPAH: Menteri Besar Perak , Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan dakwaan yang menyebut beliau akan meluluskan permohonan pewartaan 12,456 hektar tanah hutan bagi semua kampung masyarakat Orang Asli di negeri ini.

Katanya jika ia benar sekalipun, jumlah keluasan tanah tersebut tidak mampu diwartakan kerajaan negeri kerana ia terlalu luas.

“Kita sedia maklum yang kajian sedang dibuat oleh Pejabat Peguam Negara. Selagi tidak ada apa-apa keputusan, kita tidak akan berbuat apa-apa.

“Saya selaku pemimpin kerajaan menyatakan yang saya tidak tertekan atas mana-mana desakan berhubung perkara itu,” katanya.

Terdahulu terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa Menteri Besar Perak akan meluluskan semua pewartaan tanah Orang Asli di seluruh negeri ekoran wujudnya desakan oleh beberapa organisasi bukan kerajaan (NGO).

Kawasan pewartaan tanah yang didakwa itu meliputi kawasan hutan simpan di Hulu Perak sehingga ke Kuala Kangsar dan Sungai Siput.

Dalam pada itu, ujar Ahmad Faizal, dalam mengurus perkara tersebut khususnya melibatkan hal ehwal penempatan Orang Asli, kerajaan perlu melaksanakannya selaras dengan peruntukan undang-undang.

“Negara kita bukan ‘negara koboi’. Negara kita ada undang-undang. Jika ada rakyat yang bertindak sewenang-wenangnya tanpa mempedulikan peruntukan undang-undang, kerajaan harus bersifat adil dengan semua rakyat, yang mana tanpa mengira siapa, kita perlu mengambil tindakan.

“Namun dalam masa sama, kita masih mengamalkan sifat timbang rasa. Kita tidak terus bertindak misalnya merobohkan rumah dan sebagainya. Kita selesaikan ia satu per satu dengan bijak,” katanya.

Tambah beliau ia juga sama sebagaimana langkah kerajaan negeri dalam mendepani dan menyelesaikan masalah penerokaan haram yang berlaku di atas tanah-tanah kerajaan.

Katanya pendekatan kerajaan negeri adalah dengan cuba mengenal pasti masalah secara berhemah dan mengambil sesuatu tindakan dengan tidak terlalu menekan rakyat.

“Kita tetap akan mengambil pendekatan berbincang walaupun dengan peneroka. Namun jika ada peneroka haram yang menentang kerajaan secara besar-besaran, itu perlu kita tentang dan ambil tindakan tegas,” jelasnya.

Beliau terdahulu ditemui pemberita pada Sambutan Hari Wesak 2019 anjuran Persatuan Penganut Agama Buddha Temoh di sini, hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");