Perak Hari Ini

MB Ulangi Kenyataan, Tapak Kediaman Rasmi Lama Masih Belum Dijual

IPOH: Kerajaan Perak sekali lagi menegaskan bahawa tapak Kediaman Rasmi Lama Menteri Besar belum lagi dijual seperti yang didakwa segelintir pihak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan bahawa setakat ini kerajaan negeri telah menerima beberapa kertas kerja oleh pemaju yang berminat untuk membangunkan kawasan tersebut namun katanya ia masih lagi di peringkat penelitian.

Katanya sekiranya ada pihak yang berminat untuk berbuat demikian maka mereka terlebih dahulu harus membangunkan 14 buah kediaman rasmi kerajaan negeri di satu kawasan yang lain.

Jelasnya 14 unit tersebut merangkumi Kediaman Rasmi Menteri Besar, Kediaman Rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri, Pegawai Kewangan Negeri serta 10 Kediaman Rasmi Exco Kerajaan Negeri.

“Saya ingat kerajaan negeri dahulu lagi pada sebelum ini telah menetapkan satu kawasan untuk dijadikan kediaman-kediaman rasmi ini, tetapi tidak pernah berjaya dilakukan.

“Kita cadangkan jika hendak dibangunkan kawasan tapak Kediaman Rasmi Lama Menteri Besar, terlebih dahulu bangunkan 14 rumah rasmi itu, berserta dengan sebuah dewan guna sama yang turut boleh digunakan oleh orang ramai.

“Saya ada melihat satu kertas kerja yang menarik dan masih ada beberapa syarikat yang juga menyatakan kesediaan mereka untuk berbuat demikian. Namun kita tidak buat keputusan secara terburu-buru.

“Kita hendak tunggu seberapa banyak cadangan yang boleh masuk dan akhirnya dapat kita lakukan ia secara land swap atau pertukaran tanah,” katanya.

Tambahnya, dengan langkah tersebut tidak akan merugikan sebaliknya akan memberi manfaat kepada kerajaan negeri.

“Saya fikir daripada sebuah rumah kepada 14 buah rumah, dan Nilai Pembangunan Kasar akan bertambah, serta dipegang beberapa peratus oleh kerajaan negeri. Kita tidak kehilangan tanah, sebaliknya kita menambah keuntungan,” katanya.

Beliau pada masa sama menafikan dakwaan kononnya Menteri Besar Perak tidak sabar untuk mendapatkan kediaman yang baharu.

Jelasnya projek tersebut bakal memakan masa yang panjang dan sekiranya ia siap, berkemungkinan ketika itu beliau bukan lagi seorang Menteri Besar Perak.

Beliau berkata demikian pada satu sesi temu bual khas Setahun Pakatan Harapan (PH) Menerajui Perak di Kediaman Rasmi Lama Menteri Besar Perak, di sini, pada Ahad.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");