Panasnya Hari Ini

Menantu Hadi Nafi MB Terengganu, Ketua Pemuda PAS Terbabit ‘Kartel Dedak’

KUALA LUMPUR: Selepas mendedahkan lima pemimpin PAS terbabit ‘kartel dedak’, bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS, Zaharudin Muhammad menafikan dua nama yang tersebar dikaitkan dalam pendedahannya, semalam.

Menurut BH Online, beliau yang juga menantu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menafikan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan adik iparnya yang juga Ketua Pemuda PAS, Khalil Abdul Hadi tersenarai daripada lima pemimpin yang beliau dedahkan tanpa menamakan mereka.

Susulan itu, katanya, orang ramai diminta tidak mempercayai dakwaan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang mengaitkan dua nama terbabit dalam kumpulan ‘kartel dedak’.

“Ini palsu. Tidak sama dengan apa yang saya maksudkan. Takkan MB Terengganu terbabit? Takkan adik ipar ana (saya) sendiri terbabit. Jangan percaya AMANAH,” katanya pada catatan di laman sosial Facebook beliau.

Dalam catatan itu, beliau turut menyertakan gambar poster lima pemimpin PAS dikaitkan dengan pendedahan dibuatnya semalam.

Zaharuddin dalam pendedahannya kelmarin mendakwa, kartel dedak itu diketuai pemimpin parti yang beliau gelar sebagai Dr Hussam II (kepala no 1) yang dibayangkan sebagai pemimpin licik, diikuti senarai kedua dinamakan sebagai Mr NT; ketiga Mr KT; keempat Mr KH dan kelima ‘semua dah tahu’.

Poster itu dipercayai dikeluarkan bekas pemimpin PAS yang kini menyertai AMANAH.

Gambar pada poster itu menyatakan Dr Hussam II adalah Dr Ahmad Samsuri, Mr NT dinamakan sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Tantawi; Mr KT pula dikatakan Ketua Penerangan Dewan Ulama, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali Al-Takiri; Mr KH dinamakan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan ‘Semua dah tahu’ adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Isu kartel dedak dibangkitkan Zaharuddin Jumaat lalu yang mengaitkan kumpulan dalam PAS didakwa menerima dana daripada pihak tertentu.

Sementara itu, pada catatan terbaru di Facebook, Zaharuddin berkata, pendedahan beliau untuk menjelaskan perbuatan ‘mendedak’ atau menerima dana daripada pihak lain itu yang dikatakan membabitkan Abdul Hadi, Majlis Syura Ulama dan PAS Pusat.

Katanya, beliau mempunyai dua pilihan sama ada membiarkan saja persepsi mengenai pembabitan Presiden PAS, Majlis Syura dan PAS Pusat dengan perbuatan menerima dana atau membuat pendedahan sebelum terlambat.

“Ramai kata apa yang saya dedahkan ini musuh ambil kesempatan. Misi saya mudah, saya nak jauhkan perbuatan mendedak ini daripada membabitkan Presiden PAS, Majlis Syura Ulama dan PAS Pusat sendiri selepas tulisan YBNA (Nik Abduh).

“Jadi dua pilihan perlu saya pilih, sama ada membiarkan persepsi ramai (berhubung) dakwaan Nik Abduh dan tentera siber pro mereka bahawa projek ini direstui presiden dan Majlis Syura…atau pilihan kedua (iaitu) dedah sekarang sebelum terlambat,” katanya.

Mengulas lanjut, Zaharudin berkata, kesan lebih besar akan menimpa PAS jika UMNO didakwa melakukan kesalahan misalnya mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLAFTA) 2001.

“Bukan saja UMNO dan Datuk Seri Najib Razak akan dihukum, bahkan PAS dan kepimpinan PAS boleh tersangkut sekali.

“Jika kerajaan Pakatan Harapan (PH) tak mampu sabitkan dengan bukti sekalipun, tetapi cukup mereka gunakan kenyataan Nik Abduh dan sekutunya yang bersungguh-sungguh mendakwa pembabitan kepimpinan tertinggi dengan mendedak sebagai alasan untuk menangkap kepimpinan PAS,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");