Perak Hari Ini

Menara Pemancar Telekomunikasi Tidak Undang Radiasi

IPOH- Susulan bantahan pembinaan menara pemancar oleh penduduk Taman Pusat Bercham, kerajaan negeri mengesahkan bahawa pendekatan berkenaan tidak akan mengundang sebarang impak negatif.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi , Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim, kadar radiasi daripada menara pemancar berkenaan sangat rendah berbanding kadar radiasi daripada telefon pintar.

“Saya ingin mengingatkan kepada seluruh rakyat di negeri ini bahawa kebimbangan mereka mengenai radiasi daripada pemancar itu tidak akan memberi kesan kepada kesihatan tubuh badan.

“Ramai orang keliru mengenai hal ini malah agensi Nuklear sendiri mengesahkan hal berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena majlis berbuka puasa bersama anak yatim, asnaf serta wakil Pemuda Amanah dan Pakatan Harapan di Kediaman Lama Menteri Besar di sini, hari ini.

Namun begitu katanya, bagi menara pemancar yang dibina di atas bangunan pula, telah diputuskan supaya tidak akan dibina lagi.

“Kita akan menyekat pembinaan menara di atas bangunan dan hanya akan ada menara di atas tanah sahaja.

“Sekatan ini bukan disebabkan bantahan daripada penduduk mengenai radiasi tetapi kerana syarikat berkenaan tidak mempunyai lesen untuk membina,” katanya.

Selain itu katanya, kita akan minta pihak berwajib membina menara pemancar di atas tanah supaya lebih mudah untuk dipantau.

“Perkara ini kita akan lihat dari segi teknikal juga iaitu dari pihak MCMC dimana mereka mungkin berpandangan berbeza namun dari kerajaan negeri sendiri, kita putuskan tiada lagi menara di atas bangunan atas bumbung,” katanya.

Tambah beliau, tindakan tersebut diambil supaya tidak akan ada pemancar haram di atas bangunan lagi

Menurut beliau, perkara tersebut akan dikuatkuasakan selepas mesyuarat AMK tetapi akan diputuskan selepas perbincangan bersama Majlis Penasihat pembangunan Infrastruktur Telekomunikasi.

Tegas beliau, penduduk Bercham tidak perlu bimbang mengenai hal berkenaan kerana belum ada kelulusan daripada pihak PBT mengenai menara yang dibina.

“Pihak kami mendapat maklumat daripada pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bahawa syarikat berkenaan tidak mendapat lesen daripada PBT untuk membina pemancar tersebut dan akan disekat daripada membuat permohonan,” katanya.

Dalam pada itu katanya lagi, hal berkenaan telah menjadi satu isu utama dalam menerima kemajuan teknologi komunikasi terkini.

“Bagi menyahut kedatangan teknologi terkini iaitu kearah teknologi 5G, kerajaan negeri mengharapkan rakyat Perak dapat memberikan kerjasama supaya pemancar- pemancar dapat dibina.

“Sudah tentulah garis panduan yang diletakkan oleh pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan kita patuhi.

“Dari segi jarak pemancar dengan ketinggian iaitu 35 meter daripada rumah akan dipastikan dapat mematuhi syarat yang ditetapkan oleh PBT dan SKMM,” katanya.

Mengulas lebih lanjut, beliau menjangkakan akan ada banyak lagi menara yang akan dibina seiring dengan kemajuan 5G, namun masih belum dilancarkan secara rasmi oleh SKMM.

“Pihak kerajaan negeri ingin mendidik rakyat bahawa kadar radiasi pada pemancar ini sangat rendah, jadi bantulah kerajaan negeri untuk memberikan kemudahan terbaik kepada rakyat.

“Jika ada bantahan, kerajaan negeri sendiri akan menghadapi masalah yang besar,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada satu isu di Pulau Pasir Hitam dimana pihak SKMM telah meluluskan pemancar setinggi 60 meter namun mendapat bantahan daripada penduduk tentang kadar radiasi.

“Akibat bantahan daripada penduduk, SKMM telah menarik balik peruntukan berkenaan dan hal tersebut adalah satu kerugian kepada kerajaan negeri Perak.

Katanya lagi, beliau belum pernah mendengar sebarang berita secara saintifik yang mengesahkan bahawa adanya pesakit kanser disebabkan radiasi pemancar.

Semasa majlis yang sama, beliau hadir bagi meraikan golongan yang tidak bernasih baik.

Kira-kira 40 orang anak yatim dan asnaf telah menerima cenderamata semasa majlis yang sama daripada beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");