Sukan Hari Ini

Muhammad Azeem Ditawar Program Pelapis Kebangsaan

IPOH – Atlet pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi ditawar masuk ke program pelapis kebangsaan dan dibiarkan kekal berlatih di sini, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Beliau berkata selain Muhammad Azeem, jurulatihnya Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah turut ditawarkan program sama bagi membolehkan MSN menyelia dan memantau perkembangan remaja berumur 15 tahun itu.

“Untuk sementara kita biarkan Azeem berlatih di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat di sini di bawah pengawasan jurulatihnya dan kita akan memantau dari situ.

Kalau ikut program pelapis kebangsaan, pangkalan Muhammad Azeem adalah di Bukit Jalil tapi kita tumpukan di sini sesuai dengan keadaan dia untuk ambil Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3),” katanya selepas mengadakan pertemuan di SMK Gunung Rapat yang merupakan sekolah sukan negeri di sini hari ini, lapor Bernama.

Turut hadir pada pertemuan yang berlangsung kira-kira dua jam itu adalah bapa Muhammad Azeem, Mohd Fahmi Tajuid dan Muhammad Amir Izwan Tan.

Ditanya sama ada diberi tawaran lain termasuk menjalani latihan di luar negara, Ahmad Shapawi berkata perbincangan ada dibuat namun pihaknya sentiasa mencari pilihan serta pandangan lain bagi keselesaan remaja istimewa itu.

Dalam pada itu, Muhammad Azeem ketika ditemui berkata beliau terkejut dengan perkhabaran tersebut dan menganggap ia sebagai impian menjadi kenyataan.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana saya tidak menyangka akan sampai ke tahap ini dan di usia saya ini saya dapat menjadi pelapis itu merupakan pencapaian yang membanggakan.

“Saya tidak merasa tekanan dan saya akan lakukan seperti biasa dan fokus saya lakukan latihan untuk kejohanan terdekat ini iaitu di Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) di Indonesia selepas Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Amir Izwan Tan berkata beliau akan meneruskan jadual latihan Muhammad Azeem seperti biasa iaitu tujuh sesi selama lima kali seminggu.

“Latihan akan dilakukan seperti biasa cuma akan ada penambahbaikkan dengan bantuan daripada Institut Sukan Negara. Selepas bulan Julai latihan akan dihentikan untuk beri peluang kepada Muhammad Azeem fokus kepada PT3,” katanya.

Muhammad Azeem diiktiraf sebagai remaja terpantas di dunia untuk peringkat umur bawah 16 tahun (B-16) dalam acara 200 meter (m) menerusi catatan 21.24 saat yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia di Johor, bulan lepas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");