Berita Hari Ini

Mujahid Sokong Teguran Sultan Perak Isu Program Politik Di Masjid

Menteri Hal Ehwal Agama Mujahid Yusof Rawa menyokong teguran Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah berhubung penganjuran program politik kepartian di masjid dan surau.

Mujahid yang juga merupakan ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, ini kerana kesucian surau dan masjid perlu dipelihara supaya dapat mengelakkan mana-mana pihak dari mengambil kesempatan yang menyebarkan kebencian atau ideologi melalui program-program tertentu.

“Saya juga bersetuju dengan titah Tuanku yang menegaskan bahawa masjid dan surau berperanan sebagai tempat menyatukan ummah dan perlu bebas daripada sebarang unsur politik.

“Ia sejajar dengan konsep Masjid R.A.H.M.A.H (Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat) yang kerajaan terapkan dalam dasar pentadbiran Islam di negara ini agar masjid dan surau bebas daripada cengkaman kepuakan, kekelompokan dan kepartian.

“Masjid dan surau perlu menjadi institusi ummah yang bebas daripada segala kepentingan dan hanya menyampaikan perkara kebaikan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam, Sultan Nazrin menegur parti politik untuk tidak menyalahgunakan surau dan masjid bagi tujuan berpolitik.

Baginda memberi perkenan agar pengerusi masjid dan surau yang membenarkan premis mereka digunakan untuk program parti politik digantung tugas sementara siasatan ke atas mereka dijalankan.

Selain itu, pada 25 Mei, Sultan Nazrin turut menitahkan pemimpin enam parti politik utama di Perak menghadap baginda iaitu Pengerusi Bersatu negeri, Ahmad Faizal Azumu; Penasihat DAP negeri, Ngeh Koo Ham; Pengerusi Amanah negeri, Asmuni Awi; Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Saarani Mohamad; Pesuruhjaya PAS negeri, Razman Zakaria dan Pengerusi PKR negeri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");