Sukan Hari Ini

Musim Liverpool Masih Berjaya Tanpa Trofi – Klopp

JURGEN Klopp percaya musim Liverpool kali ini berlangsung dengan amat-amat berjaya walaupun jika mereka menamatkannya tanpa sebarang trofi.

Kejuaraan Liga Perdana akan ditentukan dalam perlawanan terakhir musim ini walaupun City akan kembali ke puncak dengan kelebihan satu mata andai menewaskan Leicester City di Stadium Etihad, awal pagi esok.

Skuad kendalian Klopp itu sudah menghimpunkan 94 mata, namun ia mungkin masih tidak cukup untuk menamatkan kemarau kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada 1990 itu.

Kempen mereka dalam Liga Juara-Juara Eropah juga kian ke penghujungnya selepas tewas 0-3 kepada Barcelona dalam separuh akhir pertama, minggu lalu.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Jerman itu berkata pasukannya jelas sudah melalui musim yang berjaya walaupun jika mereka menamatkannya tanpa sebarang piala.

“Ramai penyokong kelab lain akan berasa gembira jika kami gagal.

“Mereka semua di belakang kami dalam carta liga kecuali Man City.

“Namun, ia tidak mengapa,” kata Klopp kepada akhbar United Kingdom (UK), lapor Stadium Astro.

“Sejak dari awal kedatangan saya ke Liverpool, saya menyedari pasukan ini akan melaluinya dengan cara sukar, jadi kami akan melakukannya dengan cara itu.

“Itulah yang berlaku kerana nasib tidak selalunya memihak kami.

“Kami perlu berusaha untuk mendapatkannya dan pemain saya dan seluruh kelab ini sudah bersedia terhadap segala kemungkinan.

“Saya tidak pasti sama ada kami mampu untuk menewaskan Newcastle (United), namun kami berjaya melakukannya. Saya amat-amat berbangga.

“Walau apapun yang terjadi, ia akan tetap menjadi musim yang amat-amat berjaya buat kami dan saya yakin penyokong juga dapat melihatnya,” katanya.

Liverpool kembali ke puncak liga selepas menewaskan Newcastle 3-2, awal pagi semalam.

The Reds akan menantikan kunjungan Wolves dalam perlawanan penutup hujung minggu ini manakala City akan bertandang ke laman Brighton and Hove Albion.

Klopp berkata pasukannya, yang turut akan berdepan Barcelona dalam separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi Rabu ini – sudah bersedia untuk dihakimi pada hujung minggu ini.

“Apabila anda memulakan musim, masalah itu sudah jelas kelihatan.

“Anda mahu menjadi juara dan apabila anda sedar anda tidak mampu menjadi juara, anda akan kecewa.

“Buat sesetengah pasukan, ia adalah hari pertama.

“Buat sesetengah pasukan, ia adalah hari terakhir.

“Ia tidak mendatangkan apa-apa perubahan.

“Bagi kami, ia telah 100 peratus jelas bahawa kami sudah mencuba apa yang termampu.

“Kami tidak boleh melakukan lebih daripada itu.

“Bagi kami, sasaran kami adalah untuk memenangi perlawanan sekerap yang boleh dan pemain telah membuktikan lebih daripada jangkaan saya.

“Ayuh cuba untuk dapatkan 97 mata dan kami akan bersedia untuk dihakimi,” tambahnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");