Panasnya Hari Ini

Najib Mohon Batal Tiga Pertuduhan Ubah Wang Haram RM27 Juta

Bekas perdana menteri Najib Razak akan memfailkan permohonan untuk membatalkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta daripada SRC International.

Peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan ketika sebutan kes tersebut hari ini.

“Ketiga-tiga pertuduhan itu bukan merupakan kesalahan predikat, sebab itulah kami mahu membatalkannya.

“Ketiga-tiga pertuduhan itu menumpang tujuh pertuduhan di hadapan hakim Mahkamah (tinggi) (Mohd Nazlan Mohd Ghazali) tetapi tersingkir keluar (dari didengar bersama kes RM27 juta) kerana perkara-perkara prosedur.

“Kami akan membuat permohonan itu,” kata Shafee memberitahu Zaini.

Timbalan pendakwa raya (DPP) Budiman Lutfi Mohamed kemudian bangun dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwa akan mencabar usaha membatalkan ketiga-tiga pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla).

“Ketiga-tiga pertuduhan Amla itu sah dan kami akan mencabar (permohonan untuk batalkan) apabila difailkan dengan betul (oleh peguam bela Najib),” kata Budiman.

Terdahulu hari ini, Budiman memberitahu hakim bahawa pihak pendakwa mahu  meneruskan kes Amla melibatkan RM27 juta itu.

“Arahan kepada saya adalah untuk mendapatkan tarikh perbicaraan bagi perkara ini, 14 hari dianggarkan (diperlukan) untuk tiga pertuduhan Amla.

“Jika kita boleh minta lebih lama (tarikh perbicaraan), ia lebih bagus,” katanya.

Shafee walaupun menerima tempoh 14 hari itu namun meminta tarikh perbicaraan tidak memasukkan Jumaat kerana peguam mempunyai urusan pada hari itu sempena Ramadan.

Zaini kemudian menetapkan perbicaraan hari pertama bagi kes RM27 juta itu pada 2 Jun tahun depan.

Beliau kemudian menetapkan tanggal 3, 4, 9 hingga 11 Jun, 15 hingga 18 Jun dan 23 hingga 25 Jun sebagai tarikh perbicaraan.

Zaini juga menetapkan 21 Jun tahun ini untuk pengurusan kes itu.

Sebelum ini dalam sebutan kes berkenaan, Zaini memberitahu pihak pendakwa untuk memutuskan sama ada mereka mahu meneruskan perkara itu.

Ini kerana Najib kini dibicarakan di hadapan hakim Nazlan atas tuduhan salah guna kuasa, tiga tuduhan pecah amanah dan tiga tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan RM42 juta daripada SRC International.

Bagaimanapun, disebabkan isu-isu prosedur, pihak pendakwa tidak berjaya membolehkan kes RM27 juta itu dibicarakan bersama kes RM42 juta.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");