Perak Hari Ini

Patuh Terhadap Tindakan JAIPk

IPOH- Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berharap agar semua pihak akur dan patuh terhadap tindakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) terhadap program yang bersifat politik di rumah ibadah.

Terdalulu, pihak JAIPk telah membuka kertas siasatan ke atas beberapa pihak termasuk pengurusan masjid dan surau serta penganjur program didakwa berbaur politik yang dijalankan di tempat ibadah seperti masjid dan surau.

Ekoran daripada tindakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming yang mengadakan program berbuka puasa, menyampaikan sumbangan dan ucapan di kawasan Masjid Asaadah Kampung Bahagia telah mengundang banyak spekulasi dari pihak lain.

Baru-baru ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegur parti politik supaya tidak menyalahgunakan masjid dan surau untuk aktiviti berbentuk politik kepartian terutama sepanjang Ramadan ini.

Kata Ahmad Faizal, kita telah menyatakan komitmen untuk menjunjung titah berkenaan, malahan berharap perkara seperti itu tidak akan berlaku lagi.

“Jika Nga Kor Ming atau mana-mana wakil rakyat dari mana-mana parti politik, kita galakkan untuk mereka sekadar berikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan di masjid, surau dan di mana juga tetapi tidak boleh menggunakan logo parti malahan tidak seharusnya berucap bagi mewakili diri kita sebagai ahli politik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media semasa Majlis Penyerahan Juadah Aidilfitri 2019 kepada pasukan berunifor, daripada kerajaan negri dan badan NGO Persatuan Amal Isteri Harapan Perak (Kasih) di Dewan Banquet, Bagunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

Dalam perkembangan lain, isu berkaitan bangunan sekolah yang menggunakan nama ahli politik iaitu Nga Kor Ming turut menjadi bualan hangat di media sosial Facebook.

Ahmad Faizal berkata, jika kerajaan persekutuan yang memberi peruntukan tetapi pihak sekolah sendiri ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak yang telah mengusahakan perkara itu, sebagai kerajaan negeri kita tidak mempunyai sebarang hak untuk menghalang.

“Namun, saya berpandangan bahawa perkara-perkara sebegini tidak perlu dihebahkan kerana tujuan kerajaan adalah untuk memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat dan tidak perlulah terlalu diperbesar-besarkan,” katanya.

Terdahulu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Min, Taiping telah mengabadikan nama Nga Kor Ming di satu bangunan sekolah berkenaan diatas usahanya mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) untuk bangunan baharu tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");