Berita Hari Ini

PDRM Akan Bertemu Perdana Menteri Berkaitan IPCMC

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertemu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyuarakan bantahan terhadap hasrat untuk memberi kuasa terhadap pelaksanaan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi menangani masalah penguatkuasaan undang-undang dan bukan sekadar syor tatatertib.

Menurut Kosmo Online, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, mesyuarat tergempar tentang perkara itu telah diadakan ekoran beberapa keputusan yang asalnya diterima tetapi kebelakangan ini terdapat banyak tentangan tentang cadangan pelaksanaannya dalam kalangan warga PDRM.

“Terdapat beberapa perkara yang diusulkan oleh jawatankuasa terlibat antaranya berkaitan dengan usaha untuk menarik kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) di bawah Artikel 140 (Perlembagaan Persekutuan) iaitu berkenaan isu tatatertib dan siasatan yang diambil alih oleh IPCMC.

“Kami akan mengusulkan bantahan berkaitan perkara itu dan pihaknya juga telah menulis surat kepada pucuk pimpinan kerajaan berhubung perkara tersebut,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Jualan Buku Mes PDRM pada Era 100 Tahun di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Pada 13 November lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah meminta kerajaan menyatakan garis masa bagi penubuhan IPCMC dan langkah bagi memastikan ia benar bebas serta mempunyai kuasa menangani masalah dalam agensi penguatkuasaan undang-undang, selain bukan sekadar memberi syor tatatertib seperti Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebelum ini.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berpendapat proses maklum balas daripada pelbagai pihak berkaitan diperlukan sebelum IPCMC dimuktamadkan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");