Perak Hari Ini

PeKa B40 Dapat Sambutan Menggalakkan

IPOH- Skim Peduli Kesihatan kepada kumpulan B40 atau lebih dikenali sebagai PeKa B40 kian mendapat sambutan khususnya kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berusia 50 tahun dan ke atas.

Skim yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM100 juta itu terdiri dari empat komponen bantuan iaitu penyediaan perkhidmatan saringan kesihatan, bantuan perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser serta insentif tambang pengangkutan.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr. Lee Boon Chye berkata, walaupun kurang dari satu bulan dilancarkan iaitu pada awal Mei lalu , skim tersebut menunjukkan perkembangan yang agak menggalakkan dari penerima BSH.

“Kita mensasarkan supaya dapat menepati sasaran awal iaitu sebanyak 800,000 penerima yang layak sehingga penghujung tahun ini dengan peruntukan sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media semasa menghadiri Program Health Awareness Campaign yang dianjurkan oleh Dewan Perhimpunan China Perak (Bahagian Wanita), Lee Eye Centre & Hospital Pantai Ipoh di Hotel Syeun di sini, hari ini.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)menekankan untuk membuat saringan kesihatan kerana penyakit darah tinggi, kencing manis, kolestrol serta kanser merupakan salah satu beban kesihatan yang tinggi untuk rakyat Malaysia serta pihak KKM sendiri.

“KKM telah menyediakan kemudahan saringan secara percuma di klinik kesihatan mahupun klinik swasta yang berdaftar dengan program tersebut.

“Kita sendiri tahu bahawa tindakan mencegah adalah lebih baik dari mengubati contohnya untuk penyakit kanser dimana sebanyak 40 peratus daripadanya boleh dicegah melalui gaya hidup yang sihat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai Program Health Awareness Campaign yang mana pengisian forum kesihatan mata sangat berkait dengan pemeriksaan saringan kesihatan.

“Melalui forum mengenai mata, terdapat satu kajian dimana masalah mata dalam kalangan rakyat Malaysia wujud disebabkan beberapa beberapa penyakit lain, namun 80 peratus daripada penyakit mata ini boleh dirawati.

“Saringan kesihatan sangat penting untuk diberi perhatian, jadi gunakanlah peluang untuk membuat saringan di bawah PeKa B40,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");