Berita Hari Ini

Pelantikan Vivy Suntik Idea Baharu Kepada UiTM

KUALA LUMPUR – Pelantikan usahawan e-dagang terkemuka, Datin Vivy Yusof sebagai satu daripada Ahli Lembaga Pengarah baharu Universiti Teknologi Mara (UiTM) mampu menyuntik idea bagi menggalakkan bidang keusahawanan dengan lebih berkesan.

Kehadiran Vivy yang juga pengasas bersama The dUCk Group iaitu jenama terkemuka dalam industri pakaian muslimah juga boleh memberi inspirasi kepada perniagaan baharu dalam kalangan warga terutamanya pelajar UiTM.

Menurut Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim, pengalaman luas yang dimiliki Vivy dalam bidang penjenamaan dan pemasaran diyakini dapat melonjakkan jenama serta produk UiTM supaya lebih gah di mata dunia.

Jelas beliau, sebagai Ketua Pegawai Kreatif FashionValet, Vivy tentunya amat peka dengan kehendak dan permintaan golongan milenium.

“Saya percaya universiti akan mendapat manfaat besar daripada pengalaman Vivy sebagai usahawan wanita yang sangat berjaya.

“Kami berharap untuk bekerjasama dengannya dalam usaha meningkatkan dan mengembangkan capaian keusahawanan UiTM dalam ekosistem global dan tempatan,” katanya, sebagaimana dilaporkan Utusan Online.

Pelantikan Vivy sebagai Ahli Lembaga Pengarah baharu UiTM diumumkan menerusi akaun Facebook rasmi universiti tersebut semalam dan mendapat pelbagai reaksi sama ada positif atau negatif daripada warga maya.

Vivy dilantik ke dalam barisan ahli lembaga pengarah untuk tempoh tiga tahun bagi menyertai Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM; Mohd. Sakeri Abdul Kadir; Datuk Mohd. Zaini Hassan dan Datuk Mohaiyani Shamsudin.

Selain itu, barisan Lembaga Pengarah UiTM turut dianggotai Datin Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh dan Tan Sri Azizah Mokhzani.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");