Berita Hari Ini

Pemandu e-Hailing Dibenar Jalani Kursus Secara Dalam Talian

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan memberi kelonggaran kepada pemandu e-hailing menjalani kursus secara dalam talian dan tidak perlu ke kelas untuk mendapatkan Lesen Vokasional (PSV-Teksi/E-hailing) sebelum 12 Julai depan, asalkan mereka mahu menghabiskan tempoh enam jam berkenaan.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook, berkata pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sedia turun padang mengendalikan kursus enam jam kepada pemandu berkenaan di mana-mana lokasi dipilih operator e-hailing di seluruh negara.

Beliau berkata, langkah itu bagi mempermudahkan pemandu e-hailing dan pihaknya sedia bekerjasama dengan operator bagi menganjurkan kursus enam jam tanpa memaksa pemandu menghadiri kelas secara fizikal.

“Semua pemandu e-hailing wajib mengikuti kursus enam jam dan ujian selama satu jam untuk mendapatkan Lesen Vokasional (PSV-Teksi/E-hailing) sebelum 12 Julai depan.

“Kita sudah beri kelonggaran kepada pemandu e-hailing sekarang, terpulang kepada mereka memilih kaedah mana untuk mengikuti kursus enam jam dan menduduki peperiksaan PSV selama sejam,” katanya pada sidang media selepas melancarkan aplikasi MyRailtime diwujudkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini, hari ini, laporkan BH Online.

Loke berkata demikian ketika ditanya sama ada Kementerian Pengangkutan bercadang memberi kelonggaran kepada pemandu e-hailing daripada menduduki kursus enam jam dan peperiksaan sejam untuk memperoleh lesen PSV menjelang tarikh penguatkuasaannya pada 12 Julai depan.

Ini kerana sistem sedia ada dikatakan bukan hanya menyusahkan kerana faktor kekangan masa dan kerenah birokrasi, malah tidak ramai pemandu e-hailing lulus lesen berkenaan.

Sebelum ini, Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA) dilaporkan bingung apabila dimaklumkan kadar kegagalan lulus peperiksaan LPSV-Teksi sangat tinggi sehingga memaksa pemandu mengeluarkan sejumlah wang untuk menduduki semula ujian berkenaan.

Presidennya, Arif Asyraf Ali berkata, walaupun GDMA tidak mempunyai jumlah sebenar pemandu e-hailing yang gagal dalam ujian PSV berkenaan, namun secara kasarnya beliau mendakwa 10 hingga 50 peratus saja pemandu lulus dalam setiap kelas.

Beliau juga mendakwa, terdapat kes di Pulau Pinang yang hanya tujuh pemandu lulus ujian PSV daripada 40 orang yang menduduki peperiksaan berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");