Berita Hari Ini

Pemandu Teksi Tolak Peraturan Cermin Gelap, Anggap Menteri Kurang Bijak

PETALING JAYA: Persatuan pemandu teksi tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan berhubung peraturan baru cermin gelap bagi bahagian sisi penumpang dan belakang kenderaan dan menganggap keputusan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook kurang bijak.

Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Shamsubahrin Ismail berkata, keputusan kerajaan ini meletakkan tahap keselamatan pengguna kenderaan, termasuk teksi dalam bahaya dan akan membuka lebih banyak gejala tidak sihat lapor FMT.

“Saya bersetuju dengan pihak polis, yang buat kenyataan awal bahawa mereka tidak dimaklumkan dan tidak bersetuju. Bagi saya ia (cermin gelap) tidak bijak kerana mengundang banyak lagi gejala tidak sihat dan membuka ruang kepada banyak salah laku, antaranya rompakan terhadap pemandu teksi atau pengguna, termasuk Grab.

“Kita bimbang akan wujudkan kes rogol, cabul, pemandu dirompak, penumpang dicabul dan sebagainya, sekarang ini ada larangan cermin hitam pun macam-macam jenayah berlaku,” katanya.

Shamsubahrin berkata, pihaknya tidak akan mengelapkan cermin teksi walaupun kerajaan membenarkannya.

“Tetapi kalau pemandu teksi nak pasang cermin gelap dia kena mohon dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan, kena ikut syarat bayar RM5,000. Saya rasa pemandu tidak akan buat, kecuali pemandu itu ada niat nak merompak, nak cabul, ada niat jahat,” katanya.

Shamsubahrin turut mendakwa keputusan kerajaan membenarkan penggunaan cermin gelap kerana terlalu tunduk kepada golongan kaya.

“Cermin hitam bukan satu kepentingan. Bagi kita kalau untuk orang sakit, menteri- itu cukuplah. Orang kaya, VVIP ini tak payah. Kenapa nak utamakan orang kaya. Buka untuk orang awam itu hanya alasan. Sebabnya nak bantu orang kaya sahaja, jadi dia guna alasan buka kepada semua,” katanya.

Semalam, Loke berkata peraturan baru cermin gelap bagi bahagian sisi penumpang dan belakang kenderaan dikekalkan walaupun dibantah pelbagai pihak, termasuk polis.

Susulan keputusan itu, pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Azisman Alias berkata, pihaknya menghormati keputusan berkenaan.

Berkuatkuasa Rabu, penggunaan cermin gelap tanpa had atau gelap sepenuhnya dibenarkan pada cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan, berbanding peraturan sebelum ini menetapkan kadar ketelusan cahaya tampak pada 30%.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Hussain menyifatkan keputusan Loke yang tidak mengendahkan bantahan awal polis terhadap langkah tersebut membuktikan menteri berkenaan menyalahgunakan kuasa.

“Anthony Loke berkata peraturan cermin gelap adalah itu di bawah bidang kuasa JPJ dan kementeriannya boleh membuat keputusan tanpa mengadakan sebarang bengkel mahupun mengadakan rundingan pihak polis’

“Beliau sebaliknya hanya mengambil kira dan mengguna pakai laporan yang dibuat pada zaman pemerintahan kerajaan terdahulu, yang pernah didakwa penuh gejala rasuah, iaitu sewaktu beliau merupakan anggota pembangkang.

“Beliau langsung tidak mengambil kira tanggungjawab menjaga keamanan negara yang dipikul oleh polis dan risiko keselamatan yang bakal di hadapi anggotanya ketika menjalankan tugas,” katanya.

Tambah beliau, jika Loke ingin mengekalkan peraturan baru penggunaan cermin gelap itu, menteri perlu buktikan bahawa keputusan itu tidak dibuat demi kepentingan perkhidmatan teksi e-panggilan, Grab.

Beliau berkata, kerajaan perlu juga mewajibkan semua kenderaan persendirian yang menawarkan khidmat e-panggilan menukar kod kegunaan kenderaan mereka kepada kod kenderaan pengangkutan awam dan nombor plet kenderaan menggunakan warna merah atau hijau.

“… dan kenderaan mereka (Grab) tidak dibenarkan menggunakan cermin gelap seperti ketetapan yang dikenakan kepada kami (teksi),” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");