Berita Hari Ini

Pengurusan Kes Tengku Adnan 16 Ogos Depan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 16 Ogos depan untuk pengurusan kes bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, yang didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah, termasuk satu pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM3 juta.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk menyerahkan penyataan saksi untuk digunakan dalam perbicaraan kelak.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Firdaous Mohamed Idris memberitahu mahkamah bahawa dokumen berkaitan sudah diserahkan kepada pembelaan.

Perkara itu disahkan peguam bela Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Mohamad Firdaous memberitahu kira-kira 30 saksi akan dipanggil untuk perbicaraan kes.

Pada 15 November 2018, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank bernombor 14200008384058 miliknya.

Perbuatan itu sebagai upah bagi dirinya kerana meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd), untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Level 2, Podium Block, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur, pada 27 Disember 2013.

Tengku Adnan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) (Akta 694), yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Tengku Adnan juga didakwa atas tuduhan pilihan iaitu sebagai seorang Menteri Wilayah Persekutuan, menerima untuk diri sendiri wang berjumlah RM1 juta daripada Eng Boon melalui cek Public bank bernombor 300109 milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank miliknya, yang diketahui Tan sebagai seorang Pengarah di syarikat Nucleus Properties Sdn Bhd ada perhubungan dengan kerja rasminya, di tempat dan tarikh sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Tengku Adnan didakwa menerima untuk diri sendiri wang berjumlah RM2 juta daripada Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank bernombor 136822 milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding Sdn Bhd yang di dalamnya beliau mempunyai kepentingan, yang mana diketahui bahawa syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, Level 1, Lot A4, Block A, Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur, pada 14 Jun, 2016 dan didakwa mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.-BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");