Berita Hari Ini

Pensyarah Wanita Terjerat Sindiket Macau Scam, Rugi RM30,400

KEPALA BATAS: Diperdaya kononnya bersalah kerana memiliki bungkusan berisi dadah menyebabkan seorang pensyarah wanita sebuah universiti tempatan di sini terjerat dengan penipuan sindiket Macau Scam apabila mengalami kerugian RM30,400, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata pensyarah berusia 36 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai wakil sebuah syarikat penghantaran.

Noorzainy berkata, wanita terbabit memberitahu bahawa mangsa mempunyai bungkusan berisi dadah namun dia menafikannya sebelum panggilan disambungkan kepada pihak polis.

“Selepas bercakap dengan seorang pegawai polis, mangsa dimaklumkan bahawa dia mempunyai kesalahan di bawah kes dadah dan pengubahan wang haram.

“Akibat takut ditangkap, mangsa akhirnya terjerat apabila dia melakukan tiga transaksi pindahan wang yang menurut suspek akan disiasat pegawai audit dari Bank Negara Malaysia (BNM) yang kesemuanya berjumlah RM30,400,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa akhirnya sedar ditipu selepas memaklumkan perkara terbabit kepada suaminya dan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, orang awam dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket penipuan jenayah komersial yang semakin berleluasa.

“Jangan sesekali mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali, sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk sebarang pengesahan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");