Perak Hari Ini

Perak Fokus Buka Peluang Pekerjaan Kepada Rakyat

IPOH- Kerajaan negeri hari ini mengumumkan bahawa akan ada lebih banyak peluang pekerjaan dibuka khususnya kepada rakyat negeri ini dan para graduan tempatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Bandaraya Ipoh telah diiktiraf sebagai destinasi Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang mana dijangka menarik pelaburan berjumlah RM486 juta dan mewujudkan lebih 1,500 peluang pekerjaan.

Katanya, perkara ini adalah hasil usaha sama kerajaan negeri yang dipacu bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) melalui inisiatif GBS@Ipoh.

“Kerajaan negeri berasa amat gembira kerana pihak NCIA telah berjaya membawa masuk sebanyak lima syarikat iaitu syarikat peneraju GBS yang mana akan memulakan operasi di Bandaraya Ipoh bermula pada penggal ketiga dan keempat pada tahun ini.

“Perkara yang kerajaan umumkan pada hari ini akan menjana lebih banyak aktiviti ekonomi di Ipoh sekaligus dapat mengurangkan pengeluran modal insan malahan pada masa yang sama dapat menarik rakyat di negeri Perak untuk berkhidmat di negeri sendiri.

“Kerajaan negeri juga berusaha dalam membantu mengurangkan isu pengangguran di negeri ini dimana statistik menunjukkan sebanyak 22.7 peratus daripada 20,341 graduan di negeri Perak masih mengganggur.,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyaksikan satu Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) GBS@IPOH diantara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Kerajaan Negeri bersama-sama lima buah syarikat GBS di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak NCIA kerana membantu kerajaan negeri dalam menarik para pelabur untuk datang ke negeri Perak.

“Usaha dari NCIA dalam satu usaha singkat telah dapat menarik lima buah syarikat dengan pelaburan yang begitu besar dan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

“Lima buah syarikat GBS terdiri daripada syarikat DigitalQ Solutions Sdn Bhd, Puncak Tegap Sdn. Bhd, Revoluteq Sdn. Bhd, TecCSA Sdn. Bhd dan Volgo Sdn. Bhd yang mana bakal akan dimuatkan di satu tempat iaitu di Aeon Falim,” katanya.

Selain itu katanya, pemilihan NCIA ke bandaraya ini disebabkan nilai tanah di negeri Perak lebih murah berbanding di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

“Jika terdapat pembinaan satu kilang di bandar besar seperti di Pulau Pinang dapat bina, maka sebanyak dua kilang pula dapat dibina di Ipoh.

“Kerajaan negeri yakin bahawa usaha NCIA membawa masuk para pelabur menjadi lebih mudah kerana kita mendapati bahwa para pelabur semakin yakin dengan kestabilan ekonomi di negeri kita dan juga kepimpinan kerajaan kini,” katanya.

Antara sektor yang terlibat dalam syarikat berkenaan adalah dari segi Kewangan, Sumber Manusia, Proses Automasi Robotik, Perancangan Sumber Perniagaan dan Teknologi Maklumat (IT) termasuk Analitik Data Besar (Big Data Analytics), Pembangunan Perisian, Cloud Computing yang berteraskan kepada Revolusi Industri Ke-Empat (IR 4.0).

GBS@Ipoh adalah sebahagian daripada inisiatif GBS@NCER yang akan menyokong kluster-kluster ekonomi yang dipromosikan di bawah NCER seperti Pembuatan, Perniagaan-agro, Pelancongan dan Logistik. Inisiatif ini bakal mengembalikan daya tarikan Ipoh sebagai lokasi pilihan kalangan golongan ekonomi digital milenia untuk bekerja.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");