Sukan Hari Ini

Perak Tiada Pilihan Selain ‘Bunuh’ PKNP

IPOH: Perak tidak mempunyai pilihan selain membunuh `adiknya’, PKNP FC jika mahu meneruskan saingan dalam Piala FA apabila kedua-dua pasukan bertemu pada suku akhir kedua di Stadium Perak di sini, Sabtu ini.

Di atas kertas, The Bos Gaurus (TBG) dilihat lebih baik daripada pelbagai aspek termasuk menumpaskan PKNP dengan empat gol tanpa balas dalam saingan Liga Super 27 April lalu, jaringan terbanyak dalam satu perlawanan buat Perak setakat musim ini.

Begitupun, keputusan terikat tanpa jaringan dengan PKNP pada aksi suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, tiga hari kemudian, memberi kelebihan pula kepada kelab konglomerat itu jika berjaya menjaringkan gol di tempat lawan.

Bagi kapten Perak, Shahrul Saad, mereka tiada pilihan selain memberi persembahan 100 peratus dan menumpaskan lawan jika tidak mahu terkandas sekali lagi di saingan suku akhir seperti musim lalu ketika pasukan itu tumpas kepada PKNS dengan agregat 3-4.

“Untuk aksi di Ipoh, kami kena `all-out’ bagi membolehkan kemenangan dicatatkan di tempat sendiri, kena bagi 100 peratus jika mahu layak ke separuh akhir.

“Dijangka corak permainan kedua-dua pasukan akan berubah, kita tidak tahu apa pula strategi akan digunakan pasukan lawan, pastinya tidak sama seperti perlawanan pertama apabila PKNP menggunakan strategi `man to man marking’,” katanya.

Shahrul berkata, pada perlawanan pertama rakan sepasukannya mengalami kesukaran kerana terpaksa bertarung dengan pasukan sama dan berkunjung ke tempat sama dalam tempoh tiga hari.

“Sebenarnya, pada perlawanan pertama hari itu kami mempunyai banyak peluang tetapi tidak dapat menghasilkan gol, jadi kali ini perlu lebih fokus untuk menghasilkan gol,” katanya.

Perkara sama turut diluahkan pengendali Perak, Mehmet Durakovic, yang mahu setiap pemain memberi sepenuh tumpuan pada perlawanan Sabtu ini kerana ia bukanlah perlawanan mudah walaupun mereka pernah menewaskan PKNP dengan jaringan besar sebelum ini.

“Semua pemain mahu layak ke separuh akhir tetapi kami sentiasa waspada dengan PKNP selepas perlawanan pertama yang mudah dengan pasukan itu, kami menghadapi kesukaran pada perlawanan kedua, jadi pertembungan kali ketiga ini pastinya turut sukar,” katanya.

Jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, pula menyifatkan keupayaan dan kekuatan empat pemain importnya mencukupi bagi bersaing dengan pasukan Perak yang dianggapnya memiliki kekuatan di setiap posisi pertahanan, tengah dan hadapan.

Bagi Abu Bakar, mara ke suku akhir sudah dianggap kejayaan selepas beberapa pasukan dengan nama besar seperti Johor Darul Ta’zim tidak mampu terus bersaing dalam piala berkenaan.   -BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");