Sukan Hari Ini

Piala FA: Terengganu Atasi Juara Bertahan

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) membawa bekalan tipis menjelang aksi kedua 10 Mei ini apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas juara bertahan, Pahang dalam aksi pertama suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebentar tadi.

Pada minit kesembilan, skuad Penyu menggamatkan lebih 10,000 peminat setianya apabila memimpin perlawanan hasil jaringan Malik Mat Ariff – berpunca daripada hantaran Lee Tuck dari tengah padang dan disudahkan pemain kelahiran Kuantan itu yang menggelecek penjaga gol, Helmi Eliza Elias.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad Tok Gajah menggandakan asakan yang lebih terarah di bahagian sayap kanan melalui pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh, namun masih buntu menghasilkan jaringan.

Sebaliknya sekali lagi hantaran Tuck membuahkan hasil apabila sampai tepat kepada Kipre Tchetche pada minit ke-26 dan pemain yang diberi gelaran ‘Drogba Ganu’ itu bijak memperdaya kereta kebal Tok Gajah, Herold Goulon sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol untuk mengukuhkan kedudukan 2-0.

Bersambung babak kedua, skuad bimbingan Dollah Salleh terus mengasak dan usaha berterusan skuad itu membuahkan hasil apabila Jose Eduardo mudah menanduk masuk hasil hantaran kapten, Matthew Davies pada minit ke-57.

Pada minit ke-69, pelawat memperoleh peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan menerusi Eduardo tapi sepakan pemain kelahiran Brazil itu singgah di palang gol.

Dalam masa kecederaan, Tchetche melepaskan peluang keemasan untuk meledak jaringan kedua apabila tolakannya ditampan penjaga gol Pahang.-BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");