Perak Hari Ini

Presiden PAFA Harap Karier Pemain Muda Tak Henti Di Perak

IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menaruh harapan yang tinggi kepada para pemain bola sepak negeri agar kesemua mereka dapat terus meraih kejayaan pada masa akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berharap mereka dapat meneguhkan dan membina jiwa mereka sepenuhnya terhadap permainan tatkala beraksi dalam mana-mana perlawanan.

Katanya PAFA juga sentiasa berharap agar mereka khususnya pemain-pemain muda dapat melakar kejayaan demi kejayaan pada masa hadapan.

“Saya harap pemain muda yang karier mereka tidak terhenti di Perak sahaja. Hari ini kita sibuk bercakap soal pemain import.

“Saya mengimpikan bahawa pemain tempatan kita juga boleh bermain dengan kelab-kelab bola sepak lain seperti di luar negara.

“Ramai yang katakan saya hanya berangan-angan namun saya yakin ia mampu berlaku, sekiranya mereka benar-benar bermain dengan sepenuh jiwa,” katanya.

Selain itu beliau turut berharap agar kesemua pemain Pasukan Bola Sepak Perak tidak memandang ke belakang sebaliknya memandang ke hadapan dan memperbaiki prestasi perlawanan untuk terus berjaya.

Menurutnya walaupun berasa sedikit kecewa dengan mutu perlawanan sehingga digelar ‘pakar seri’, namun beliau berharap ianya dapat dipertingkatkan lagi pada perlawanan-perlawanan yang akan datang.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa PAFA bersama-sama penghuni Pusat Jagaan Anak-anak Yatim dan Miskin Nurul Iman Kampung Manjoi, di Kediaman Rasmi Lama Menteri Besar Perak, dekat sini, pada Rabu.

Pada majlis tersebut, kesemua barisan pemain dan pegawai yang telah menyumbang tenaga sehingga Perak berjaya membawa pulang Piala Malaysia pada tahun lalu menerima geran lot tapak rumah masing-masing seperti mana yang dijanjikan.

Pengurus pasukan Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tah ketika ditemui berkata beliau berterima kasih kepada Presiden PAFA atas inisiatif tersebut.

Justeru katanya dengan pemberian geran itu ia mampu menyuntik semangat kepada barisan pemain yang sedia ada untuk terus berjaya dalam semua aksi perlawanan dan liga yang akan datang.

Difahamkan seramai 39 pemain dan pegawai menerima geran lot tapak rumah yang terletak di daerah Chemor.

Difahamkan juga kawasan tersebut bakal dinamakan sebagai Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Piala Malaysia 2018.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");