Perak Hari Ini

Program ‘Jom Singgah Sahur’, Santuni 80 Warga Emas

TAIPING- “Rindu anak cucu, terubat.” Itulah antara luahan penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK),di sini, ketika dikunjungi 20 kakitangan KPJ Taiping Medical Centre (TMC) dan Hotel Taiping Perdana, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kunjungan itu, jelas terpancar kegembiraan dan kesayuan pada wajah 80 penghuni RSK apabila mereka diraikan dan dapat bersahur bersama-sama.

Malah ada antara mereka yang terlalu mesra selain menganggap kehadiran 20 kakitangan KPJ TMC dan Hotel Taiping Perdana seperti anak dan cucu mereka sendiri.

Wartawan turut sempat mendengar luahan dari seorang penghuni berusia 70-an yang namanya enggan disiarkan.

Ibu kepada tiga anak dari sebuah daerah di negeri ini menceritakan kisah sedihnya ‘dibuang dan didera’ anak-anak beberapa tahun lalu sehingga terpaksa merempat di tepi jalan sebelum di ambil oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ditempatkan di sini.

Menurutnya, tatkala tibanya bulan Ramadan dan Syawal, air matanya bergenang memikirkan kenangan bersama anak dan cucu sebelum dia diabaikan.

“Ibu mana yang tak rindu anak-anak dan cucu sendiri. Biarpun disisih, namun naluri keibuan itu tetap mendalam. Namun apakan daya, sudah ketentuan Allah. Lagi pun mak cik tak nak susahkan mereka.

“Mak cik gembira di sini, kawan pun ramai. Mak cik redha dengan apa yang berlaku,” katanya dengan nada hiba.

Dalam kunjungan yang turut disertai Pengurus Besar KPJ TMC Taiping M. Renuga dan Pengurus Besar Hotel Taiping Perdana, Zol Maarof, itu kesemua kakitangan yang hadir turut beramah-mesra dan membantu menyuapkan makanan dan minuman kepada warga emas yang uzur dan tidak berkemampuan.

Ternyata banyak kisah suka dan duka dikongsikan mereka sepanjang keberadaan kumpulan ini disana.

Dalam pada itu Ketua Perhubungan Awam dan Pemasaran, KPJ TMC, Mohd Faizal Isa, berkata program ‘Jom Singgah Sahur’ yang diadakan merupakan julung kali dianjurkan mereka dengan kerjasama Hotel Taiping Perdana.

Menurutnya selain berkongsi kegembiraan bersama penghuni RSK, lebih 100 kakitangan awam dan swasta yang bertugas pada waktu awal pagi juga diraikan dengan pemberian 200 pek makanan sahur yang disediakan mereka.

 

“Selain penghuni RSK, antara yang dikunjungi adalah petugas Tol Kamunting, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting, BBP, Taiping, Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping, Hospital Taiping dan Stesen KTM Taiping.

“Selain itu penumpang KTM Taiping yang berada di stesen itu turut diraikan dan diberikan pek bersahur,” katanya.

Tambahnya lagi pihaknya merancang untuk menjadikan program seperti ini sebagai program tahunan dan turut merangka beberapa program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang lain pada sepanjang tahun ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");