Berita Hari Ini

Program TVET Di GiatMARA Ditambak Baik

ALOR GAJAH: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mahu program latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) di GiatMARA ditambah baik bagi memenuhi kehendak pasaran yang lebih relevan, khususnya Revolusi Perindustrian Ke-4 (Industri 4.0).

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata ada keperluan untuk menambah beberapa lagi program latihan kemahiran baharu di institut latihan itu yang selari dengan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Kita dalam proses menambah baik kursus dan program ditawarkan di GiatMARA. Ini kerana, kita berpendapat sudah tiba masanya untuk melihat program sedia ada untuk memastikan ia kekal relevan.

“Sekiranya ada yang kurang relevan, kita akan gantikan dengan program baharu yang mengikut kehendak pasaran untuk menjamin masa depan lebih baik dalam kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya kepada NSTP selepas ditemui pada Majlis Singgah Sahur di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah, di sini, hari ini.

Terdahulu, Rina turut meluangkan masa bersahur bersama seramai 795 pelajar MRSM Alor Gajah, sebelum bersama-sama menyertai acara qiamullail, tazkirah dan solat subuh berjemaah.

Program anjuran bersama KPLB dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu turut memberikan sumbangan duit raya kepada semua pelajar MRSM Alor Gajah, termasuk menyampaikan bantuan keperluan Aidilfitri kepada 82 pelajar yang kurang berkemampuan.

Dalam pada itu, Rina berkata, lepasan SPM terutama yang berminat dalam bidang teknikal dan vokasional supaya memanfaatkan kemudahan di lebih 200 pusat latihan GiatMARA di semua kawasan Parlimen di seluruh negara.

“Mereka khususnya pelajar luar bandar harus merebut peluang melanjutkan pengajian dalam program pendidikan TVET disediakan di sembilan institusi termasuk di GiatMARA.

“Malah, dalam Ekspo TVET @ KPLB di Ipoh, bulan lalu, saya difahamkan seramai 2,000 lepasan program pendidikan TVET ditawarkan pekerjaan, sekali gus membuktikan kebolehpasaran pelajar yang memiliki kemahiran TVET cukup tinggi,” katanya.

Untuk rekod, terdapat 345 kursus atau program pendidikan TVET disediakan di sembilan institusi antaranya Kolej Kemahiran Tinggi MARA, GiatMARA, Universiti Kuala Lumpur serta Akademi Kemahiran Kemas di Gopeng dan Seri Iskandar.-BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");