Berita Hari Ini

Projek Reben Kuning Peluang Kedua Buat Belia Bermasalah

Projek Reben Kuning yang bertujuan memberi peluang pekerjaan kepada bekas banduan terutama golongan belia dan belia bermasalah adalah bukti keprihatinan kerajaan terhadap golongan berkenaan.

Program itu diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan pada Oktober tahun lalu bagi memberikan peluang kedua buat bekas banduan dan pelajar sekolah pemulihan akhlak agar diterima kembali ke pangkuan masyarakat.

Inisiatif dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan itu bertujuan memberikan ruang bagi golongan tersebut mendapat peluang pekerjaan, pendidikan dan hidup tanpa diskriminasi atau pandangan serong.

Usaha itu secara langsung membantu belia terlibat kembali dan berbakti kepada masyarakat tanpa dibelenggu kesilapan masa lalu.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha berkata masalah utama buat belia bekas banduan adalah mendapatkan semula kepercayaan daripada masyarakat, majikan dan keluarga sendiri.

Oleh itu, katanya, sokongan setiap lapisan masyarakat penting bagi mengembalikan keyakinan diri pada golongan tersebut dan memberi jaminan kepada mereka yang kesaksamaan akan diberikan apabila mereka kembali di luar.

Malah menurutnya, MBM, yang terlibat sama dalam Projek Reben Kuning turut membantu menyediakan latihan pekerjaan (job coaching) kepada banduan muda sebelum mereka keluar penjara.

“Kami bawa majikan berpotensi untuk masuk terus ke penjara bagi menerangkan skop pekerjaan dan keperluan industri kepada golongan tersebut.

“Ada juga majikan yang terus menawarkan pekerjaan kepada mereka. Jadi sebelum keluar lagi dah dapat kerja dan apabila keluar, terus boleh mula bekerja,” katanya kepada Bernama.

PH yang mula menerajui kerajaan Persekutuan sejak 9 Mei tahun lalu sememangnya memberikan perhatian kepada bekas banduan dalam dasar mereka.

Ini terbukti melalui Belanjawan 2019 yang memberi pemotongan cukai tambahan ke atas majikan yang menggaji golongan itu.

Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Malaysia (Abim) Mohamad Raimi Ab Rahim, berkata Projek Reben Kuning penting untuk memastikan bekas banduan terus kekal di jalan yang lurus dan tidak kembali semula melakukan jenayah.

“Kita perlu pastikan mereka ini kekal baik dengan menyediakan peluang mencari pendapatan, kerana jika tidak jaringan jenayah yang pernah disertai mereka sedia untuk menerima mereka kembali.

“Tidak susah (untuk menerima bekas banduan), majikan cuma perlu sesuaikan tempat kerja kepada golongan ini sama seperti majikan menyesuaikan tempat kerja mereka untuk golongan orang kurang upaya.

“Mungkin majikan boleh mulakan dengan kerja yang ringan kepada mereka, jika sudah baik boleh beralih kepada lebih berat,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");