Berita Hari Ini

Ramadan Bulan Disiplinkan Diri, Kawal Nafsu – PM

PUTRAJAYA: Ramadan bukan hanya bulan menahan diri daripada makan di siang hari, tetapi juga melatih untuk lebih berdisiplin dan mengawal nafsu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, puasa menghalang umat Islam daripada melakukan perkara yang salah, sekaligus menjadikan diri seseorang itu lebih baik dan dipercayai.

“Perkara tidak baik ini terlalu banyak sehingga kadang-kadang menggoda kita. Kita dilarang melakukan sebarang jenayah dan ini perkara penting yang bukan hanya pada bulan puasa.

“Bagaimanapun, bulan puasa menjadi masa untuk melatih dan mengawal diri kita supaya berdisiplin, menolak yang tidak baik dan mengamalkan yang baik. Puasa mengawal diri kita daripada dipengaruhi nafsu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi Mei di Dataran Perdana di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri-Menteri di JPM.

Perdana Menteri berkata, nafsu yang tidak dikawal akan mendorong manusia untuk melakukan perkara buruk yang akhirnya mendatangkan mudarat kepada diri.

“Umpamanya jika terbabit dengan rasuah. Kita tahu rasuah tidak baik, dilarang dan berdosa tapi kita tidak lawan nafsu apabila dihulur rasuah. Dengan itu, kita menjadi manusia yang lemah, yang tidak dapat mengawal diri dalam apa juga keadaan.

“Orang yang lemah tidak mungkin berjaya. Hanya orang yang kuat saja yang berjaya, kuat mengawal nafsu,” katanya.

Perdana Menteri berkata, jika bangsa Malaysia kuat melawan nafsu, beliau percaya negara akan dipercayai dan dihormati di seluruh dunia, sekali gus mendapat lebih banyak manfaat.

“Walaupun ada kalanya (nafsu) terpaksa di akur, namun kalau kita ikut nafsu, sudah tentu apa juga yang kita lakukan menjadi lebih buruk akhirnya.

“Mungkin pada mulanya terdapat kejayaan untuk mendapat sesuatu tetapi akhirnya, ia akan menghasilkan keburukan kepada diri sendiri,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat berpuasa kepada umat Islam di negara ini.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");