Berita Hari Ini

Razak Beritahu Tidak Pernah Suruh Azilah Bunuh ‘Amina’

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, penganalisis politik, Dr Abdul Razak Baginda, mengaku kepada setiausahanya bahawa beliau tidak pernah menyuruh bekas pegawai polis, Azilah Hadri, membunuh seorang wanita bernama ‘Amina’.

Siti Aisyah Mohd Azlan, 36, yang masih lagi bekerja dengan Abdul Razak, berkata majikannya itu memberitahu bahawa beliau hanya meminta Azilah yang juga defendan pertama dalam kes saman RM100 juta oleh keluarga wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, untuk melindungi rumah dan keluarga lelaki itu.

Katanya ketika menjawab soalan peguam Sangeet Kaur Deo, Abdul Razak juga memberitahu bahawa Azilah bukan polis biasa, sebaliknya pegawai berpangkat Cif Inspektor.

“Saya diberitahu oleh defendan ketiga (Abdul Razak) pada 7 November 2006, waktu pagi semasa dia memanggil saya ke biliknya. Tarikh saya tidak berapa ingat sekarang tetapi mengikut keterangan terdahulu saya, itu adalah tarikhnya.

“Dia beritahu saya sesuatu yang buruk sudah berlaku. Defendan ketiga berkata Amina sudah mati. Saya tanya siapa yang melakukannya, dia kata Azilah yang lakukan,” katanya di hadapan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebagaimana dilaporkan BH Online, hari ini.

Siti Aisyah memberi keterangan itu pada perbicaraan kes saman bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev dan isterinya Altantsetseg Sanjaa, serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai .

Bagaimanapun, Altanshagai meninggal dunia pada 2017 dan tidak lagi bertindak sebagai plaintif terhadap Azilah serta Koperal Sirul Azhar Umar, Abdul Razak dan Kerajaan Malaysia, dengan tuntutan pampasan RM100 juta.

Siti Aisyah memberitahu mahkamah beliau tidak dimaklumkan majikannya bagaimana dia (Abdul Razak) tahu Azilah melakukannya dan tidak juga bertanya mengenainya.

Beliau berkata, Azilah adalah pegawai UTK (Unit Tindakan Khas) yang datang ke pejabat mereka pada 18 Oktober 2006.

Terdahulu, Siti Aisyah membuat pengecaman terhadap gambar Altantuya Shaariibuu sebagai ‘Amina’ iaitu wanita warganegara asing yang datang ke pejabatnya pada Ogos 2006.

Saksi Plaintif keenam itu berkata beliau tidak ingat sama ada wanita itu memberitahu namanya ketika hadir ke pejabatnya di Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang atau ketika wanita sama membuat panggilan telefon ke pejabat sebelum dia datang atau bila panggilan itu dibuat serta isi kandungan perbualan itu.

“Saya tidak ingat sepenuhnya, cuma beliau ingin bercakap dengan defendan ketiga. Seingat saya, beliau tidak bercakap dengan defendan ketiga pada waktu itu. Saya ada memberitahu defendan ketiga bahawa beliau (Amina) menelefon tetapi saya tidak ingat bila,” katanya.

Siti Aisyah berkata, kali pertama ‘Amina’ datang adalah pada waktu petang secara bersendirian dan apabila ditanya siapa yang dicari oleh wanita itu, beliau memperkenalkan diri sebagai ‘Amina’ dan mahu berjumpa dengan Abdul Razak sebelum Siti Aisyah memaklumkannya kepada majikannya itu.

Beliau berkata, Abdul Razak keluar dan berjumpa dengan ‘Amina’ di pintu masuk pejabat selama dua hingga tiga minit.

“Menurut keterangan saya yang lalu, ya saya ada mendengar Dr Razak berkata, “I got nothing to do with you. If you want to do anything go ahead.” Selainnya saya tidak dengar,” katanya.

Beliau juga memberitahu mahkamah, tiga kali ‘Amina’ datang ke pejabatnya selepas kejadian itu, termasuk dengan dua wanita lain dan menyerahkan satu sampul surat.

Ketika soal balas oleh peguam Abdul Razak, Manjeet Singh Dhillon, Siti Aisyah mengakui majikannya itu hanya bertemu ‘Amina’ sekali saja ketika itu.

Katanya, beliau juga tidak mendengar majikannya mengeluarkan perkataan kasar, ugutan, memukul, menolak kepala atau memarahi ‘Amina’ ketika itu.

Beliau juga berkata, pada bila-bila masa, majikannya tidak pernah memintanya merahsiakan perjumpaan Abdul Razak dengan Azilah. Perbicaraan bersambung esok.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");