PUTRAJAYA: Kerajaan sudah membayar balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan berjumlah RM17.1 bilion daripada RM37 bilion tunggakan kepada pembayar cukai setakat 30 April lalu.
Bayaran itu dibuat daripada dividen khas sebanyak RM30 bilion yang akan diterima kerajaan daripada PETRONAS seperti diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2019 pada 2 November 2018.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata dividen khas PETRONAS secara one-off itu mula dibayar kepada kerajaan secara ansuran dan bayaran balik kedua-dua cukai berkenaan kepada pembayar cukai bermula sejak Januari lalu.
Mengikut pecahan, setakat 30 April lalu dividen khas diterima daripada PETRONAS ialah RM16 bilion dengan bayaran balik GST ialah RM9.5 bilion membabitkan 76,002 kes.
Sebanyak RM5.2 bilion bayaran balik cukai pendapatan kepada syarikat dan RM2.4 bilion kepada selain syarikat membabitkan masing-masing 70,205 dan 1,186,288 kes.
Guan Eng berkata, untuk bayaran balik cukai pendapatan, sebanyak RM7.6 bilion telah dibayar oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Bagi bayaran balik GST pula, sebanyak RM9.5 bilion telah dibayar kepada 76,002 registran GST oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sehingga 30 April 2019,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Guan Eng berkata, tunggakan pembayaran balik cukai pendapatan selama enam tahun dan cukai GST selama tiga tahun berjumlah RM37 bilion ini adalah kegagalan pengurusan kewangan negara oleh kerajaan terdahulu.
Katanya, tindakan menahan wang pembayar cukai tanpa sebab munasabah adalah agar kerajaan lama boleh menggunakan wang ini dahulu.
“Seperti diumumkan pada tahun lalu, tunggakan bayaran balik GST dan cukai pendapatan ini membabitkan sebanyak 121,429 registran GST dan 1,653,786 kes syarikat, individu, persatuan dan yayasan masing-masing setakat 31 Mei 2018.
“Pembayaran balik cukai ini menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan tidak menyelewengkan pulangan dividen daripada PETRONAS, dan ikhlas menunaikan janji memulangkan tunggakan pembayaran balik cukai kepada rakyat dan syarikat.
“Lagipun, ini ialah satu lagi beban yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan sungguhpun tidak menggunakan wang terbabit,” katanya.
Sebaliknya, beliau berkata, tindakan itu akan memberi impak positif kepada perniagaan di Malaysia dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.- BHarian