Perak Hari Ini

Roboh Sekatan Orang Asli Cunex: Tiada Tangkapan Dibuat

IPOH: Tiada sebarang tangkapan dibuat semasa kerja-kerja merobohkan sekatan atau blokade laluan pembalakan menuju ke Hutan Simpan Air Cepam di Gerik dilakukan semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain@Abd Rashid berkata kerja-kerja tersebut juga berjalan lancar ekoran tiada perkara tidak diingini seperti kekerasan ke atas anggota atau rusuhan yang berlaku.

Katanya, sekitar 50 anggota polis daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Daerah Gerik telah ditempatkan bagi menjaga keselamatan dan keadaan sekitar lokasi kerja-kerja tersebut.

“Kita mendapati masyarakat Orang Asli setempat tidak bertindak apa-apa. Blokade itu telah dapat dialihkan dan lori boleh membawa keluar balak.

“Hal ini juga kerana konsesi lesen dan permit memang sudah kerajaan berikan.

“Walau bagaimanapun, kita masih melakukan pemantauan bagi bersedia menghadapi sebarang kemungkinan lain,” katanya ketika ditemui pemberita pada program High Profile Policing (HPP) di Bazar Ramadan Medan Gopeng, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi sehingga kini, sebanyak dua laporan polis telah dibuat berhubung blokade tersebut.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kerja-kerja perobohan sekatan yang dibina oleh penduduk Kampung Tasik Asal Cunex dekat Gerik semalam.

Sementara itu, mengulas lanjut tentang program bermula dari 6 Mei sehingga kini, sebanyak 78 Bazar Ramadan seluruh negeri telah menjadi lokasi penganjuran program HPP.

Jelasnya ia melibatkan 78 pegawai dan 135 anggota polis daripada seluruh Perak.

Katanya inisiatif tersebut diadakan sebagai langkah mempereratkan lagi hubungan antara polis dan masyarakat dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di negeri ini.

Selain itu beliau turut mengingatkan orang ramai yang ingin meninggalkan rumah mereka semasa sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti agar memaklumkan kepada pihak polis terlebih dahulu.

“Mereka boleh memaklumkan secara terus atau mengisi borang dan mengantarkannya kepada mana-mana balai polis yang berdekatan. Selain itu, mereka juga boleh memaklumkan kepada kami menerusi aplikasi Volunteer Smart Patrol (VSP),” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");