Berita Hari Ini

Rumah Mahathir Banyak Makanan, Ada Yang Hantar 1 Tan Dodol

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa rumahnya kini dipenuhi makanan susulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menggariskan dasar melarang anggota jemaah menteri, timbalan serta setiausaha politik menerima hadiah melebihi RM500.

Ini katanya, sehingga ada juga pihak yang menghantar satu tan dodol ke rumahnya sebagai hadiah.

“Tidak lagi dapat banyak hadiah, dahulu semasa saya jadi perdana menteri kali pertama, saya terima 26 buah kereta tetapi saya pulangkan dan ada antaranya saya letakkan di muzium (Galeri Perdana di) Langkawi.

“Kita boleh terima adalah makanan dan bunga. Sekarang ini makanan dan bunga banyak di rumah saya.

“Mereka mahu hantar kepada saya satu tan dodol. Mereka hantar banyak sangat jadi saya terpaksa agihkan semula.

“Saya tidak tahu sama ada ini rasuah atau tidak,” katanya sambil bergurau pada sidang akhbar di bangunan Perdana Putra di Putrajaya, hari ini.

Pada 9 Jun lalu, Dr Mahthir mengumumkan kerajaan PH hanya menerima ‘hadiah’ berupa bunga, makanan serta buah-buahan menerusi pelaksanaan dasar pemberian hadiah dan derma.

Polisi tersebut terpakai kepada anggota pentadbiran awam dengan melibatkan menteri sehingga setiausaha politik, namun buat masa sekarang, dasar itu hanya menumpukan terhadap penjawat awam.

Isytihar harta termasuk dalam KPI menteri

Pada sidang akhbar yang sama Dr Mahathir mengumumkan Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) mencadangkan skop Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) termasuk pengisytiharan harta dimasukkan dalam petunjuk prestasi utama (KPI) menteri.

Beliau berkata semua menteri juga harus memastikan anggota pentadbiran di bawah kementerian masing-masing mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Semua menteri dan timbalan menteri, dan kita juga akan panjangkan kepada semua anggota parlimen walaupun mereka dalam parti lawan,” katanya.

Dr Mahathir dalam masa yang sama berkata pembangkang juga perlu mengisytiharkan harta mereka sebagai “bayaran” kepada keterbukaan kerajaan mendengar kritikan daripada pihak pembangkang.

“Pembangkang mempunyai sedikit kuasa, umpamanya mereka mempunyai kuasa untuk mengkritik kerajaan, ia bayaran untuk itu. Mereka juga perlu isytiharkan aset,” katanya.

Bahkan, beliau turut tidak menolak kemungkinan pengisytiharan harta turut akan melibatkan ahli-ahli keluarga menteri, timbalan menteri dan ahli-ahli Parlimen.

Selain itu, Dr Mahathir berkata semua menteri juga perlu mewujudkan dan melaksanakan dasar penerimaan hadiah di kementerian masing-masing.

Katanya semua menteri harus menandatatangani akujanji mengeluarkan arahan dan memastikan pelaksanaan dasar berhubung penerimaan hadiah itu dilaksanakan.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");