Perak Hari Ini

Semua Pihak Akur Titah Sultan

IPOH: Tiada sebarang laporan mahupun kes terbaharu berhubung penyalahgunaan masjid dan surau yang menganjurkan sebarang program atau aktiviti berunsurkan politik di Perak, setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata siasatan terhadap perkara tersebut oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) juga dijalankan ke atas penganjur dan bukannya kepada penceramah yang dijemput.

Baru-baru ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegur parti-parti politik di negeri ini supaya tidak menyalahgunakan masjid dan surau untuk aktiviti berbentuk politik kepartian terutama sepanjang Ramadan ini.

Baginda juga turut menitahkan agar siasatan berhubung perkara tersebut segera dijalankan oleh JAIPk.

Asmuni dalam pada itu berkata pihaknya tidak mendapat sebarang perkembangan lanjut berhubung siasatan tersebut.

“Setakat ini tiada kes baharu dan saya mendapati semua pihak mematuhi Titah Sultan Perak.

“Siasatan tidak dijalankan kepada penceramah sebaliknya ia dijalankan ke atas pihak yang membenarkan premis mereka seperti surau dan masjid digunakan untuk program politik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Khas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.

Ia dihadiri Setiausaha Bandaraya, Zakuan Zakaria serta sekitar 2,000 kakitangan dan pegawai MBI.

Dalam perkembangan sama, Asmuni turut diminta mengulas tentang kejadian seorang ketua kampung yang ditahan reman selama tiga hari ekoran menjual rokok seludup dan mercun tanpa permit pada Selasa.

Beliau berkata perkara tersebut diserahkan kepada pihak berkuasa sementara menunggu keputusan kes siasatan.

“Sekiranya pihak terlibat ada didakwa dan disabitkan di mahkamah, kita akan mengambil tindakan.

“Namun sekiranya hasil siasatan mendapati tidak berlaku sebarang pelanggaran peruntukan undang-undang maka, tiada sebab untuk kita menukar ketua kampung itu,” jelasnya.

Selain itu menurutnya kerajaan negeri telah pun menyaring dan membuat tapisan menerusi Jabatan Insolvensi dan Polis terhadap semua individu yang mahu dilantik sebagai ketua kampung.

“Kita sudah membuat kajian latar belakang dan tapisan. Namun kes ini seperti mana kita tahu ia baru sahaja berlaku,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");