Membawang Hari Ini

‘Simpanan Hampir Kosong, Sampai Tahap Nak Minta Zakat’

“SAYA sampai tahap nak pergi pejabat zakat minta bantuan,” luah pelakon Reza Hasbi, 30, susulan situasi terpaksa dialami selepas dua bulan tiada tawaran berlakon.

Menurut Harian Metro, lebih parah apabila bayaran berlakon sebanyak RM5,000 yang sepatutnya diterima juga belum dilunaskan sebuah pihak produksi sejak lima bulan lalu.

“Simpanan saya memang sudah hampir kosong dan terpaksa guna duit isteri untuk beli lampin dan susu anak. Kadang kala dalam keadaan terdesak terpaksa juga pinjam duit isteri buat isi minyak.

“Saya juga terpaksa pinjam duit mak buat belanja balik kampung dan kini kami sekeluarga ada di kampung atas belas ihsan mak ayah,” katanya terpaksa menetap di rumah ibu bapanya di Kuala Kangsar, Perak.

Pelakon drama Dia Menantu Rahsia itu juga meluahkan rasa kecil hati kerana pihak pengurusannya, A Aida Talent Management seolah-olah meminggirkannya.

Pada masa sama, dia mendakwa hampir berputus asa apabila melihat rakan pelakon lain sentiasa ada tawaran berlakon.

“Ingatkan pihak pengurusan dapatlah bantu mempromosikan saya sebab dah lama tiada tawaran berlakon.

“Saya tunggu hingga Julai ini bagaimana, kalau situasi masih sama, mungkin akan terus bersara daripada bidang ini dan buat kerja lain,” katanya.

Pada masa ini bekas peserta Pilih Kasih musim pertama itu membantu keluarganya berniaga di warung dan inap desa di kampung.

Melalui ruangan Instastory di laman sosial Instagram, semalam, Reza yang turut dikenali melalui filem muzikal tarian Showdown The Movie, meminta maaf kepada dua anaknya kerana tidak mampu membelikan apa-apa untuk hari raya ini.

“Rifqi Danial, Rafi Daiyan, Abbi minta maaf. Raya tahun ini Abbi tak mampu beli apa-apa untuk korang.

“Kawan Abbi sakan ‘bershooting’, Abbi dua bulan lebih termenung. Sudah itu, bayaran ‘shooting’ lima bulan lepas pun ada produksi yang tak mampu nak lunaskan duit Abbi,” tulisnya.

Reza mengakui sudah tidak tahu hendak meminta bagaimana lagi dan berharap isteri serta anaknya bersabar.

Dia turut meminta sedikit masa daripada keluarganya kerana mahu meninggalkan kerjaya lakonan apabila tiba masanya nanti.

Reza berkahwin dengan Rosedarlila pada 2015 dan dikurniakan dua anak lelaki, Rifqi Danial, 2, dan Rafi Daiyan, dua bulan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");