Sukan Hari Ini

Solskjaer Akui United ‘Tak Cukup Baik’

LONDON: Ole Gunnar Solskjaer menyifatkan Manchester United tidak beraksi cukup baik sepanjang musim ini selepas mengharungi kekecewaan diikat Huddersfield 1-1, malam tadi yang turut meranapkan impian Red Devils ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

United hanya melakar dua kemenangan daripada 11 perlawanan terakhir dalam semua kejohanan ketika kelab tangga tercorot dan sudah pun tersingkir ke Liga Kejuaraan, Huddersfield menamatkan deretan lapan kekalahan berturut-turut.

United bermula baik apabila mendahului seawal minit kelapan menerusi jaringan Scott McTominay yang memanfaatkan kesilapan penjaga gol tuan rumah, Jonas Lossl.

Begitupun, pertahanan longlai yang ditampilkan skuad kendalian Solskjaer memberikan Huddersfield sebab untuk meraikan sesuatu pada perlawanan terakhir mereka di gelanggang sendiri musim ini apabila menyamakan kedudukan menerusi Isaac Mbenza pada minit ke-60.

Pelawat berusaha untuk menambah jaringan tetapi gagal melaksanakannya dengan keputusan memastikan pasukan itu secara matematik terkeluar daripada persaingan memburu kedudukan empat terbaik liga.

“Ada alasan mengapa kami berada di mana kami berada sekarang,” kata Solskjaer. “Sepanjang musim kami tidak cukup baik untuk mencabar tempat ke saingan Liga Juara-Juara.

“Tidak mengejutkan tetapi kami berharap untuk menampilkan persembahan yang lebih baik pada hari ini. Kami tidak mengutip cukup mata, tidak cukup memenangi perlawanan dan tidak menjaringkan gol yang cukup.

“Sentiasa sukar apabila kamu kehilangan pengurus kamu pada pertengahan musim. Ia memberikan kesan kepada kami sedikit demi sedikit. Ia menunjukkan di mana kami berada.

“Kami tidak hidup di alam fantasi dan berfikir kami boleh mengejar kedudukan dua teratas, kami amat jauh tetapi kami tidak sepatutnya bercakap mengenai kedudukan di luar empat terbaik di Manchester United.” – AFP

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");