Membawang Hari Ini
Like

Suami Selalu Curang, Kata Bella

May 16, 2019
484 Views
0 Comments
3 minutes read
Suami Selalu Curang, Kata Bella

KUALA LUMPUR – “Suami selalu curang, saya ada bukti gambar dan video,”ujar isteri kepada penyanyi dan pelakon Aliff Aziz, Bella Astilllah kepada hakim syarie Izzat Syazli Murhshid ketika ditanya punca dia bertindak menuntut cerai.

Malah menurut Bella mereka sudah tidak bersefahaman dan sudah tiga bulan tidak tinggal sebumbung.

Terdahulu Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz sah bercerai talak satu dengan isterinya Bella Astillah di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.

Lafaz cerai dibuat Aliff dihadapan hakim Syarie Izzat Syazli Murshid lebih kurang jam 3.45 petang tadi dalam satu prosiding sebutan kes itu.

Bella pada 21 Mac lalu telah memfailkan permohonan cerai dan pasangan itu juga telah melalui proses kaunseling melalui Jawatankuasa Pendamai yang dilantik mahkamah.

Permohonan cerai dibuat oleh Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 25 selaku plaintif mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 28, dilihat menangis sepanjang prosiding berlangsung.

Dalam pada itu, Bella ketika ditanya hakim punca beliau memfailkan perceraian menyatakan mereka sudah tidak bersefahaman dan sudah tidak tinggal sebumbung sejak tiga bulan lalu.

“Kami tidak ada persefahaman dan suami selalu curang”, jawab Bella dengan suara tersekat-sekat.

Bella turut memaklumkan mahkamah beliau mempunyai bukti kecurangan suaminya dalam bentuk gambar dan video.

Sementara itu Aliff bersetuju dengan kenyataan itu sebelum mahkamah membenarkan Aliff melafazkan talak satu dan meminta kedua pasangan itu bermaafan.

Izzat Syazli kemudian mensabitkan berlaku perceraian dengan talak satu dan memerintahkan plaintif menjalani tempoh edah selama tiga bulan, mendaftarkan perceraian mereka di pejabat agama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan sijil nikah dibatalkan.

“Kamu sudah berkahwin dan dikurniakan seorang anak. Kamu perlu beri perhatian kepada anak itu. Jangan sebut keburukan masing-masing di hadapan anak,” katanya.

Aliff turut diperintah membayar nafkah anak sebanyak RM1,000 sebulan yang akan dimasukkan ke akaun Bella bermula Mei ini.

Penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura itu beberapa kali menjadi kontroversi dan diperkatakan di media sosial kerana didakwa curang selepas gambar miripnya berswafoto sambil tidak berbaju bersama seorang gadis berpakaian seksi tular.

Terbaharu, beberapa keping gambar aksi Aliff sedang bercumbu dengan seorang wanita yang dikatakan seorang model Indonesia juga mula tular.

Terdahulu, Aliff terpalit kontroversi pada Julai 2017 dengan adik Anzalna Nasir, Afifah. Bagaimanapun, Bella memaafkan perbuatan Aliff hingga kejadian membabitkan pelakon baharu, Oktovia Manrose, sekitar Februari lalu.

Aliff dan Bella mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang putera, Mohamad Ayden Adrean, yang kini berusia dua tahun.-Sinar

Komen & Pendapat

Comments are closed.