Perak Hari Ini

Sultan Perak Titah Pemimpin 6 Parti Menghadap

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah, menitahkan pemimpin utama enam parti di negeri itu menghadap baginda berhubung isu penggunaan masjid dan surau serta kemudahannya dalam aktiviti atau program berunsur kepartian.

BH difahamkan, pemimpin berkenaan adalah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Amanah Negara (AMANAH), PKR, DAP, UMNO dan PAS.

Antara pemimpin parti yang hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Pengerusi BERSATU negeri; Pengerusi AMANAH negeri, Asmuni Awi; Pengerusi PKR negeri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Penasihat DAP yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham.

Pemimpin pembangkang pula, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS negeri, Razman Zakaria.

Sumber berkata, semua pemimpin berkenaan menghadap baginda di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, jam 4 petang tadi.

“Baginda menitahkan semua pemimpin utama parti berkenaan menghadap baginda berhubung isu penggunaan masjid dan surau serta kemudahannya dalam aktiviti atau program berunsur kepartian yang semakin banyak berlaku ketika Ramadan,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Menurutnya, perkara itu menimbulkan masalah apabila program dianjurkan turut memaparkan logo parti dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

BH difahamkan, Istana Perak akan mengeluarkan kenyataan berhubung pertemuan itu esok.

Hari ini, Pergerakan Pemuda AMANAH Perak mendakwa mengesan sekurang-kurangnya empat program yang jelas menggunakan nama parti pembangkang dilakukan di masjid dan surau di negeri itu, baru-baru ini.

Ketua Pemuda AMANAH Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, dilaporkan berkata tindakan kedua-dua parti berkenaan nyata tidak menghormati institusi agama yang diletakkan di bawah kuasa Sultan Perak dan mencabar kredibiliti Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dalam menguatkuasa peraturan sedia ada.

Beliau berkata, ia kerana penggunaan masjid dan surau dalam aktiviti yang jelas membawa mesej politik kepartian adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan melanggar titah Sultan Nazrin selaku ketua agama di negeri.

Katanya, Sultan Nazrin ketika menjadi Raja Muda Perak pernah menitahkan pada majlis sembah menghadap Orang Besar Jajahan Perak dan pegawai tadbir agama daerah di Kompleks Islam di sini, antara lain menegaskan bahawa masjid dan surau tidak wajar dijadikan pentas untuk permainan politik, sebaliknya harus menjadi instrumen perpaduan untuk menyatu padukan ummah.

“Perkara ini turut diberi peringatan oleh Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusup Husin, bulan lalu, supaya Peraturan-Peraturan Pengawasan Pengajaran Agama dan Dakwah 2013, dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasnul Zulkarnain yang juga EXCO kerajaan negeri, mendakwa antara program berkenaan adalah anjuran Wanita UMNO dan Muslimat PAS Lumut di Masjid Terapung Kampung Telaga Nenas, Ayer Tawar, dan Masjid Al-Khairiah Kampung Banjar, Teluk Intan yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO Malaysia.

Dakwanya, surau lain yang digunakan untuk menganjurkan program atas nama parti adalah Surau Klebang Prima, Ipoh, yang membawa kain rentang dengan logo parti UMNO dan PAS di dalam masjid, dan Surau Al-Ittihad di Kampung Temiang, juga di Ipoh yang turut membawa pemimpin utama PAS ke program berkenaan.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");