Perak Hari Ini

Syarikat Insurans Diseru Beri Liputan Rawatan Kesihatan Mental

IPOH: Kementerian Kesihatan menyeru dan menggalakkan mana-mana syarikat insurans di negara ini untuk memberi liputan perubatan bagi rawatan dan penjagaan kesihatan mental.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata mereka digalakkan untuk berbuat demikian menerusi satu kertas kerja dan cadangan supaya ia dapat diusulkan kepada pihak Bank Negara.

Katanya keperluan untuk mengadakan perlindungan insurans tersebut adalah kerana kos rawatan dan konsultasi bagi masalah kesihatan mental boleh mencecah hingga ratusan ringgit.

Jelasnya sebuah syarikat insurans di Singapura ada menawarkan perkhidmatan perlindungan terhadap lima masalah kesihatan mental utama iaitu, kemurungan, kecelaruan bipolar, skizofrenia, sindrom Tourette dan Gangguan Obsesif Kompulsif di negara mereka.

“Ini adalah contoh yang terbaik di mana rawatan kesihatan mental diberi liputan perubatan oleh pihak insurans.

“Kita menggalakkan syarikat insurans di negara ini untuk turut sama melakukan sedemikian kerana kita sedar bahawa masalah kesihatan mental adalah salah satu masalah utama.

“Dengan adanya liputan perubatan tersebut, ia secara tidak langsung akan meningkatkan tahap kesedaran masyarakat berhubung penyakit tersebut selain memberi kebajikan kepada pesakit yang memerlukan,” katanya.

Tambah Boon Chye, menerusi Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017, masalah kesihatan mental di negara ini semakin membimbangkan khususnya dalam kalangan remaja.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyempurnakan Program dan Pameran Kebudayaan Confucius di Sekolah Menengah Poi Lam (SUWA) di sini, hari ini.

Terdahulu, aktivis sosial dan penaung Persatuan Psikiatri Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan Kementerian Kesihatan agar dapat memperluaskan liputan insurans bagi rawatan dan penjagaan kesihatan mental.

Sementara itu, ujar Boon Chye usaha dalam menangani masalah kesihatan mental daripada terus merebak dalam kalangan masyarakat hendaklah ditangani bersama-sama.

“Untuk perkara ini, ia bukan sahaja memerlukan usaha Kementerian Kesihatan semata-mata. Tetapi ia turut memerlukan usaha dan kerjasama daripada komuniti dan organisasi bukan kerajaan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");