Berita Hari Ini

Tambah 5 Jenis Barangan Dalam Skim Kawalan Harga

KUALA LUMPUR: Sebanyak lima jenis barangan keperluan harian akan ditambah ke dalam senarai skim kawalan harga sempena musim perayaan kali ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata penambahan itu bertujuan membolehkan pengguna memperoleh barangan terbabit pada harga berpatutan.

“Lazimnya pada musim perayaan, kementerian menetapkan 20 jenis barangan dalam senarai skim kawalan harga tetapi tahun ini, kita akan menambah lima lagi.

“Kita akan mengumumkan semua jenis barangan terbabit pada Rabu ini,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Inisiatif Swasta Menangani Inflasi, di sini, pada Isnin, lapor BH Online.

Yang turut hadir, Pengerusi Country Heights Holdings Berhad, Tan Sri Lee Kim Yew.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution turut memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan menjelang Aidilfitri ini adalah mencukupi.

“Saya sering berhubung dengan rakan saya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, mengenai bekalan daripada sektor berkaitan.

“Saya memberi jaminan bahawa semua bekalan sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri ini adalah mencukupi. Pengguna tidak perlu bimbang,” katanya.

Sementara itu pada majlis sama, Saifuddin Nasution turut melepaskan konvoi yang akan mengagihkan sebanyak 50,000 roti canai secara percuma kepada pengguna jalan raya dan rumah kebajikan terpilih.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");