Berita Hari Ini

Tanam 3 Nilai Hidup Dalam Diri Murid, Pesan Dr M Pada Guru

GEORGE TOWN: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menggesa rakyat meneladani budaya ekonomi-ekonomi maju di Asia Timur seperti Jepun dan Korea Selatan.

Beliau berkata kedua-dua ekonomi maju itu berkongsi nilai-nilai hidup bersama iaitu bekerja keras, boleh dipercayai, dan berdisiplin tinggi.

Beliau berkata nilai-nilai itu membawa mereka kepada kejayaan dalam apa sahaja bidang yang diceburi.

Mahathir berkata rakyat wajar meneladani nilai-nilai ketimuran itu sambil mengejar kejayaan akademik.

“Guru-guru mesti tanam nilai-nilai itu dalam diri murid-murid. Jika dimulakan dari awal, ia akan menjadi sebahagian budaya nasional,” katanya kepada kira-kira 3,500 guru-guru dari serata negara yang berhimpun di sini untuk meraikan Hari Guru Kebangsaan ke-48.

Mahathir terharu diundang untuk bersama para pendidik di majlis hari ini, mengatakan kejayaan dalam hidupnya adalah kerana guru-gurunya.

Menyifatkan bidang perguruan sebagai kerjaya sepanjang hayat, beliau berkata walaupun seseorang itu sudah meninggalkan kerjaya tersebut, dia masih dipanggil cikgu.

“Dalam semua tradisi, agama atau budaya, guru diangkat ke aras yang tinggi, setinggi ibu bapa atau penjaga.

“Jadi, setiap kali saya diundang menghadiri sambutan Hari Guru, saya sangat tersentuh kerana kehidupan saya hari ini adalah kerana setiap seorang cikgu yang mengajar saya,” katanya.

Mahathir berkata kerajaan komited menambahbaik dan menghormati kerjaya perguruan. Beliau berkata dalam Belanjawan 2019, kerajaan memberikan RM60.2 bilion kepada Kementerian Pendidikan, iaitu hampir 20% daripada belanjawan persekutuan.

Beliau berkata tahap pendidikan negara sangat bertambahbaik, iaitu pada kedudukan ke-19 daripada 141 negara dalam 2018 Qualiti Education Index.

“Pencapaian ini menunjukkan Malaysia berada di landasan betul dan diiktiraf sebagai negara yang berdaya saing dan kompetitif dalam bidang pendidikan,” katanya.

Mahathir berkata kerajaan akan terus meningkatkan standard pendidikan negara dan mempersiapkan murid-murid menyesuaikan diri dalam dunia teknologi disruptif.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");