Berita Hari Ini

Tiga Negeri Catat Kemalangan Maut Tertinggi

SEREMBAN: Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mengenal pasti tiga negeri yang mencatatkan kemalangan maut tertinggi bagi tempoh 2015 sehingga 2017 iaitu Selangor, Johor dan Perak.

Pengarahnya, Dr Siti Zaharah Ishak, berkata, setakat ini dalam tempoh itu Batu Pahat, Johor mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan 554 kes.

Katanya, laluan Batu Pahat ke Kluang melalui Ayer Hitam dikenal pasti sebagai laluan ‘kawasan panas’ berikutan banyak berlaku kes kemalangan maut di situ.

“Laluan empat lorong yang lurus dan panjang itu menjadi antara faktor berlakunya kemalangan kerana pengguna jalan raya cenderung untuk memandu melebihi had kelajuan.

“Selain Batu Pahat daerah lain di negeri itu yang turut mencatatkan kadar kemalangan maut yang tinggi adalah di Johor Bahru Selatan dengan 315 kes dan Kluang 296 kes.

“Bagi Selangor pula katanya, sebanyak 347 kes maut direkodkan di Kajang, Klang Selatan (270) dan Kuala Selangor (260), manakala Perak, Ipoh (402), Manjong (261) dan Hilir Perak (232),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha ke-21 di Pusat Perniagaan Betaria di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Mengulas lanjut, Dr Siti Zahirah berkata, faktor kecuaian manusia turut menjadi antara punca utama berlakunya kemalangan.

Malah katanya, ketika ini juga menjadi ‘kebiasaan’ pemandu untuk menggunakan telefon bimbit ketika memandu sama ada untuk bercakap, melayari internet, menggunakan aplikasi Whatsapp atau berswafoto

“Perlu diingat kelalaian walau hanya satu saat boleh menyebabkan kemalangan,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata, kementerian akan berbincang dengan kerajaan negeri, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mencari langkah mengurangkan kadar kemalangan terutama di lokasi panas.

Katanya, walaupun banyak penguatkuasaan dijalankan di lokasi terbabit, tetapi ia masih tidak mencukupi untuk mengurangkan kadar kemalangan.

“Tahap kesedaran di kalangan pemandu masih kurang justeru kempen untuk mendidik masyarakat mengenai keselamatan jalan raya perlu terus diadakan.

“Selain itu, peranan ibu bapa juga penting untuk mengawal dan mendisiplinkan anak-anak supaya tidak melanggar undang-undang jalan raya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");