Berita Hari Ini

Tindakan Tegas Terhadap Pihak Apikan Sentimen Kaum, Agama

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menghina mana-mana agama.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia termasuk cubaan mengadakan satu perhimpunan pada hujung minggu ini yang dilihat cuba mengapi-apikan sentimen kaum dan agama terutamanya dalam kalangan umat Islam.

“Ada pihak yang mendakwa kononnya kedudukan dan kesucian Islam di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) semakin terancam juga tidak benar sama sekali.

“Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, saya ingin mengambil kesempatan untuk menasihatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa memelihara keharmonian kaum dan agama di negara kita.

“Janganlah kita mudah terpengaruh dengan dakyah pihak yang mengambil kesempatan untuk meraih laba politik dengan sengaja mengapi-apikan sentimen kaum dan agama,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online, hari ini.

Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam anjuran Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yang dijangka diadakan Sabtu ini di ibu negara antara lain bertujuan menyatakan hasrat rakyat yang mendakwa tidak selesa dan tergugat dengan tindakan pelbagai pihak terhadap kedaulatan Islam yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan juga sudah termaktub dalam Perlembagaan dan tidak akan diubah.

Selain itu katanya, PDRM juga sudah mengambil tindakan tegas dengan menyiasat, menahan dan membawa ke muka pengadilan terhadap individu yang terbabit isu sensitif seperti penghinaan terhadap Rasulullah SAW, agama Islam dan Raja-Raja yang tular di media sosial.

“Berhubung kes penghinaan terhadap agama Islam dan Rasulullah SAW, sebanyak 53 kes sudah disiasat dan daripada jumlah itu, lapan individu sudah dituduh di mahkamah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");