Berita Hari Ini

Tingkat Gaji Pekerja Tempatan, Tidak Perlu Ke Jepun, Kata Charles Santiago

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen dan pemimpin kesatuan sekerja mempersoalkan keperluan menghantar pekerja kolar biru Malaysia ke Jepun, sebaliknya mendesak kerajaan meningkatkan gaji di negara ini terlebih dahulu.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J Solomon berkata, rancangan program visa untuk pekerja kolar biru dengan Jepun menimbulkan persoalan sama ada rakyat Malaysia mendapat gaji yang mencukupi di negara mereka sendiri.

Mereka berkata, pekerja Malaysia membuktikan mereka tidak menolak untuk melakukan kerja 3D (kotor, bahaya dan sukar) kerana ramai yang pergi ke Singapura, Australia dan New Zealand untuk pekerjaan sedemikian, kadang-kadang secara haram lapor FMT.

Kerajaan dilaporkan bakal menandatangani perjanjian dengan Jepun bagi membolehkan pekerja kolar biru negara ini dihantar bekerja dalam sektor tertentu di bawah program visa khas yang dilancarkan bulan lepas.

Santiago berkata, mesej yang diketengahkan kepada pekerja tempatan ialah negara akan terus membawa masuk pekerja asing sementara rakyat yang mahukan gaji lebih tinggi boleh mencari kerja di luar negara.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya mengurangkan pergantungan pada pekerja asing, selain mengekalkan pekerja tempatan di sini dengan gaji yang lebih baik.

“Apakah logiknya menghantar pekerja kita ke sana sedangkan kita perlukan mereka di sini? Kerajaan harus jelaskan perkara ini,” katanya.

Beliau juga berkata, kemahiran berbahasa Jepun merupakan satu syarat di bawah program visa tersebut, justeru menimbulkan persoalan tentang bilangan calon yang memenuhi keperluan itu.

Jepun dikatakan membenarkan kemasukan lebih ramai pekerja asing berikutan pertambahan cepat jumlah rakyatnya yang lanjut usia dan kadar kelahiran yang rendah.

Solomon berkata, gaji lebih tinggi akan menarik rakyat Malaysia untuk bekerja di Jepun, sama seperti mereka pergi bekerja ke Singapura, Australia dan New Zealand.

“Ia hanya menunjukkan bahawa majikan di negara ini tidak membayar gaji yang adil untuk pekerjaan sukar yang dilakukan oleh ramai pekerja.”

Beliau juga mahukan lebih banyak maklumat tentang rancangan menghantar pekerja Malaysia ke Jepun dengan berkata, manfaat dan risiko program itu perlu dinilai.

“Pembuat dasar dalam kerajaan harus sedar tentang keadaan di sana sebelum menghantar rakyat kita menerima pekerjaan jenis 3D di Jepun,” katanya.

Beliau berkata, wujud kebimbangan berhubung laporan tentang keadaan kerja yang buruk untuk pekerja asing di Jepun, dakwaan orang asing dibayar gaji lebih rendah daripada gaji minimum, risiko kemalangan semasa latihan dan kes bunuh diri.

Beliau juga berkata, program pekerja asing di Jepun mendapat kritikan dunia dengan dakwaan bahawa ia diadakan bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor berkemahiran rendah.

Terdapat juga kebimbangan tentang kemungkinan berlakunya eksploitasi dan pelanggaran hak asasi manusia.

Beliau menggesa kerajaan supaya memastikan pekerja tempatan yang pergi ke Jepun diberikan latihan sebelum berlepas yang mencukupi berkenaan undang-undang buruh, budaya, kos hidup dan maklumat mengenai kehidupan di sana.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");