Perak Hari Ini

Tubuh Jawatankuasa Pertumbuhan Ekonomi WCE

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pertumbuhan Ekonomi di Sepanjang Jajaran Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (West Coast Expressway – WCE), hari ini.

Katanya penubuhan jawatankuasa tersebut adalah sebagai langkah kerajaan negeri bagi mengenal pasti dan memaksimumkan segala limpahan ekonomi di sepanjang jajaran WCE yang bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Jelasnya dalam jawatankuasa itu juga, beliau bertindak selaku pengerusi manakala Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari pula akan bertindak selaku timbalan pengerusi.

Pengarah Urusan West Coast Expressway Sdn Bhd, Datuk Neoh Soon Hiong pula dilantik sebagai penasihat jawatankuasa.

“Pada mesyuarat hari ini kita telah menerima pelbagai cadangan daripada pegawai-pegawai daerah dan pihak-pihak berkuasa tempatan yang terlibat dengan jajaran WCE ini.

“Segalanya kita akan perhalusi dan saya telah menetapkan tempoh masa sebulan untuk semua pejabat daerah ini mengadakan perbincangan ataupun brainstorming.

“Kemudian kita akan meneruskan dengan tindakan-tindakan bagi memastikan cadangan itu dapat kita laksanakan secepat mungkin demi kepentingan rakyat,” katanya.

Menurutnya sebanyak lima daerah yang terlibat yang mana daerah Bagan Datuk akan diberi keutamaan dari segi limpahan pembangunan.

Jelasnya kerajaan negeri akan cuba menarik minat pelabur asing untuk turut sama membuka peluang ekonomi di kawasan-kawasan yang terpencil di negeri ini.

Katanya antara kelebihan yang ada pada Perak ialah nilai harga tanahnya masih rendah jika dibandingkan dengan Selangor dan Pulau Pinang.

Difahamkan, dengan adanya WCE, jaringan jalan raya antara kawasan di selatan Perak dengan Pelabuhan Klang akan menjadi lebih efisien.

“Projek WCE ini akan membantu dalam pertumbuhan terhadap industri dan banda-bandar baru khusus kepada daerah yang agak keterbelakangan dari segi pembangunan,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Menteri Besar berkata pada 20 Mei ini satu pengumuman akan dibuat bagi menjawab persoalan pembukaan beberapa jajaran WCE ini.

Namun katanya beliau yakin sekurang-kurangnya satu jajaran iaitu laluan Hutan Melintang ke Teluk Intan akan dapat dibuka sebelum tiba Hari Raya Aidilfitri nanti.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");