Berita Hari Ini

Warden Dihukum Penjara 133 Tahun, 42 Sebatan Liwat Pelajar Tahfiz

KANGAR: Seorang warden asrama dihukum penjara 133 tahun dan 42 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan meliwat lima pelajar di sebuah pusat tahfiz di Simpang Empat, bulan lalu.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu selepas Nawawi Anuar, 27, mengaku bersalah terhadap 26 daripada 29 pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut 26 pertuduhan berkenaan, tertuduh didakwa meliwat lima pelajar berusia sembilan hingga 15 tahun di pusat tahfiz itu sepanjang April lalu.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan bagi tiga lagi pertuduhan membabitkan dua kes liwat dan satu kes memaparkan video lucah melalui telefon bimbit kepada seorang mangsa berusia 11 tahun.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali, Norshuhada Mohd Yatim dan Mohd Farhan Aliff Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Hapiz Rajali.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan (KK), 377C KK, Seksyen 15(e) serta Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dan Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002.

Mahkamah menetapkan 9 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen.

BH sebelum ini melaporkan polis memburu seorang warden sebuah pusat tahfiz, di sini, kerana disyaki meliwat dan mencabul lima pelajar lelaki sejak April lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd, dipetik berkata laporan mengenai kejadian itu dibuat seorang daripada guru pusat tahfiz berkenaan di Balai Polis Simpang Empat pada jam 11.25 pagi 9 Mei lalu.

“Berdasarkan laporan guru itu, salah seorang mangsa berusia 15 tahun tampil membuat aduan pada 24 April lalu, mendakwa dia diliwat dan dipaksa melakukan amang seksual di bilik warden.

“Mangsa mendakwa suspek mengugut untuk memukulnya jika kejadian itu dilaporkan. Namun, mangsa yang tidak tahan diperlakukan sedemikian bertindak membuat aduan,” kata Noor Mushar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");